SHAH ALAM, 18 SEPT: Sebanyak 68,177 pekerja kehilangan pekerjaan bagi tempoh Januari hingga 16 September tahun ini, meningkat 15,196 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit antara sektor yang paling terjejas, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, jelas beliau, pasaran buruh negara secara keseluruhannya kekal berdaya tahan apabila tenaga buruh dan jumlah penduduk bekerja terus meningkat sehingga Julai 2026.
"Setakat Julai, tenaga buruh meningkat kepada 17.37 juta orang manakala penduduk bekerja mencecah 16.85 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.
"Kadar pengangguran pula kekal 3.0 peratus, sama seperti bulan sebelumnya, membabitkan sekitar 520,300 penganggur," katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global di sini, hari ini.
Akmal berkata, perkembangan itu menunjukkan pasaran buruh negara secara keseluruhannya masih stabil, meskipun tekanan tertentu terus dirasai beberapa sektor.
Katanya, kerajaan sentiasa berwaspada terhadap perkembangan berkenaan, khususnya peningkatan kehilangan pekerjaan dalam sektor yang terjejas.
Dalam masa sama, katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan penempatan semula pekerjaan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan portal MYFutureJobs bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan kembali ke pasaran buruh.
Bagi tempoh Januari hingga 11 September lalu, katanya, sebanyak 143,653 pekerja berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan menerusi inisiatif berkenaan.
"Perkembangan itu menunjukkan intervensi kerajaan bukan sekadar menyediakan sokongan sementara kepada pekerja yang terjejas, sebaliknya turut membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu dan kembali bekerja.
"Situasi itu juga mencerminkan bahawa walaupun pasaran buruh secara keseluruhan kekal stabil, tumpuan berterusan diperlukan bagi menangani kehilangan pekerjaan yang berlaku dalam sektor tertentu," katanya.







