JAS henti operasi kilang e-sisa tanpa lesen di Klang

29 Jul 2026, 8:30 AM
JAS henti operasi kilang e-sisa tanpa lesen di Klang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti peleraian sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) secara manual tanpa lesen serta kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dihentikan operasinya di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Klang, kelmarin.

Agensi itu berkata operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 18 dan 19, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(c), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikenakan terhadap peralatan memproses e-sisa di premis berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pasukan Penguat Kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan Operasi Bersepadu terhadap sebuah premis yang menjalankan aktiviti peleraian e-sisa di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Klang pada 27 Julai 2026. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar

Menurut agensi itu, kertas siasatan turut dibuka bagi tindakan mahkamah serta pengeluaran kompaun terhadap kesalahan di bawah akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 19 akta sama, pesalah boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pesalah turut boleh dikenakan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan selepas notis disampaikan.

JAS Selangor berkata operasi bersepadu itu merupakan usaha berterusan bagi memastikan aktiviti pengurusan e-sisa dilaksanakan mengikut peraturan serta tidak menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.