HULU LANGAT, 28 JULAI: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjangkakan Kajang Smart City Command Centre (KS2C) mampu memperkukuh tadbir urus bandar menerusi penggunaan teknologi, data dan inovasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif serta mampan.
Yang Dipertuanya, Nazli Md Taib berkata pusat pemantauan dan penyelarasan bandar pintar itu mula beroperasi sepenuhnya pada Januari lalu selepas melalui fasa pembangunan, pengujian, integrasi serta latihan pengoperasian.

"Melalui kemudahan ini, MPKj kini berupaya membuat keputusan secara lebih pantas dan tepat, memperkukuhkan koordinasi antara jabatan serta agensi berkaitan di samping meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada lebih 1.3 juta penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat berkenaan di Menara MPKj, di sini, hari ini.
Nazli berkata KS2C berfungsi sebagai pusat integrasi pelbagai sistem dan data secara masa nyata dalam satu platform bersepadu yang membolehkan pemantauan bandar dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.
"KS2C ini dapat membuat pemantauan terhadap aspek keselamatan, trafik, kebersihan, infrastruktur, pengurusan bencana serta operasi bandar dapat dilaksanakan lebih pantas, tepat dan berkesan," katanya.

Menurut beliau, pendekatan berasaskan data itu turut mempercepatkan proses membuat keputusan selain memperkukuh penyelarasan tindakan antara MPKj dengan jabatan serta agensi berkaitan melalui perkongsian data secara masa nyata.
Katanya, penubuhan KS2C merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan Perbandaran Pintar Kajang 2030 (Smart Kajang 2030) yang menjadi hala tuju pembangunan bandar pintar MPKj, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri serta dasar pendigitalan sektor awam negara.
"Saya percaya dan yakin KS2C akan terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem bandar pintar di Kajang dan seterusnya memperkukuhkan kerjasama strategik antara MPKJ dan agensi-agensi berkaitan serta rakan-rakan strategik yang lain demi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata MPKj akan terus komited memperluaskan penggunaan teknologi, inovasi dan pendigitalan dalam pengurusan bandar supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh masyarakat.
"Harapan kami agar KS2C ini menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, perkhidmatan yang lebih responsif dan berorientasikan rakyat selaras dengan aspirasi menjadikan Kajang sebuah bandar pintar yang progresif, berdaya saing, mampan dan sejahtera," katanya.








