Pelarian Rohingya berkumpul di pejabat UNHCR miliki dokumen sah - polis

28 Jul 2026, 4:11 AM
Pelarian Rohingya berkumpul di pejabat UNHCR miliki dokumen sah - polis
Pelarian Rohingya berkumpul di pejabat UNHCR miliki dokumen sah - polis

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen sah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada jam 8.50 malam, semalam.

"Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.

"Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata tindakan dokumentasi ke atas pelarian telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur (JKA) serta wakil bersama pejabat UNHCR.

"Hasil dari proses dokumentasi yang dijalankan terhadap warga rohingya di perkarangan Dataran Wira IPK Kuala lumpur mendapati kesemua warga rohingya mempunyai dokumen UNHCR yang sah," katanya.

Beliau berkata, kesemua etnik Rohingya ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur.

"Setakat ini, pihak UNHCR sedang berusaha mengambil tindakan lanjut ke atas komuniti pelarian yang ada pada hari ini," katanya.

Media semalam melaporkan, ratusan etnik Rohingya yang berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling di sini dipindahkan ke IPK di sini bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti.

Operasi pemindahan dilakukan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi.

Ini disebabkan kebanyakan pelarian terbabit turut membawa bagasi dan barangan peribadi.

Media melaporkan mereka berkumpul di situ selepas diusir oleh penduduk tempatan di sebuah kampung di Pulau Pinang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.