Hepatitis B 'bersembunyi', lebih sejuta rakyat Malaysia tidak sedar dijangkiti

28 Jul 2026, 4:00 AM
Hepatitis B 'bersembunyi', lebih sejuta rakyat Malaysia tidak sedar dijangkiti

SHAH ALAM, 28 JULAI: Lebih sejuta rakyat Malaysia dianggarkan menjadi pembawa virus hepatitis B tanpa menyedarinya kerana virus itu boleh berada dalam badan selama bertahun-tahun tanpa menunjukkan sebarang gejala.

Keadaan itu menyebabkan ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas mengalami komplikasi serius seperti sirosis atau kanser hati.

Pakar Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi KPJ Klang Specialist Hospital, Dr Anil K. Radhakrishnan, berkata hepatitis B merupakan antara jenis hepatitis yang paling membimbangkan di Malaysia kerana ramai pembawa tidak menyedari mereka dijangkiti.

"Virus hepatitis B boleh berada dalam badan dan hati selama bertahun-tahun tanpa menyebabkan simptom yang jelas. Dalam tempoh itu, hati boleh rosak secara beransur-ansur sebelum pesakit menyedarinya.

"Sebahagian pesakit hanya dikesan selepas mengalami komplikasi seperti sirosis atau kanser hati," katanya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Pakar Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi KPJ Klang Specialist, Dr. Anil K Radhakrishnann ketika di temubual dalam program Bicara Semasa di Ibupejabat Media Selangor, Shah Alam pada 17 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR.

Beliau berkata gejala awal hepatitis lazimnya tidak begitu ketara dan sering disalah anggap sebagai masalah kesihatan biasa, antaranya cepat letih, hilang selera makan, loya serta rasa tidak sihat yang berpanjangan.

"Apabila pesakit mula mengalami mata kuning, perut membengkak atau muntah darah, keadaan itu biasanya menunjukkan penyakit sudah berada pada peringkat yang lebih serius.

"Jangan takut menjalani pemeriksaan kerana diagnosis dan rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa," katanya.

Hati berlemak juga boleh sebabkan hepatitis

Dr Anil berkata masih ramai beranggapan hepatitis hanya berpunca daripada jangkitan virus, sedangkan keradangan hati juga boleh berlaku akibat hati berlemak, pengambilan alkohol secara berlebihan, penyakit autoimun serta penggunaan herba atau suplemen yang tidak berdaftar.

Katanya, peningkatan kes hati berlemak pada masa ini turut dipengaruhi sindrom metabolik seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang boleh menyebabkan keradangan hati secara kronik.

"Kita kini mengenal pasti semakin banyak kes hepatitis berpunca daripada hati berlemak yang berkait rapat dengan gaya hidup serta penyakit metabolik seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Dalam masa sama, masyarakat juga perlu berhati-hati mengambil herba atau suplemen yang tidak berdaftar kerana ada antaranya berisiko menyebabkan kerosakan hati," katanya.

Pakar Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi KPJ Klang Specialist, Dr. Anil K Radhakrishnann ketika di temubual dalam program Bicara Semasa di Ibupejabat Media Selangor, Shah Alam pada 17 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengawal berat badan, mengekalkan indeks jisim badan (BMI) yang sihat, mengurus penyakit kronik dengan baik serta mengehadkan pengambilan alkohol bagi mengurangkan risiko penyakit hati.

Orang dewasa juga digalak ambil vaksin

Mengulas mengenai pencegahan, Dr Anil menggalakkan orang dewasa yang tidak pernah menerima vaksin hepatitis B supaya menjalani pemeriksaan darah bagi mengetahui sama ada mereka mempunyai perlindungan terhadap virus berkenaan.

Katanya, golongan yang dilahirkan sebelum pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan berkemungkinan tidak menerima vaksin hepatitis B ketika bayi.

"Ramai bayi yang dilahirkan kini menerima vaksin hepatitis B, namun masih ada golongan dewasa yang tidak pernah menerima vaksin kerana dilahirkan sebelum Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan.

"Jika ujian darah menunjukkan antibodi tidak mencukupi, kami akan mengesyorkan vaksinasi lengkap tiga dos. Bagi mereka yang pernah menerima vaksin tetapi tahap antibodi didapati menurun, dos penggalak mungkin diperlukan mengikut penilaian doktor," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan awal penting bagi memastikan seseorang mempunyai perlindungan yang mencukupi, sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan hepatitis B.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.