Syahir 'senjata psikologi' gerunkan Thailand di Sukan Asia

28 Jul 2026, 2:44 AM
Syahir 'senjata psikologi' gerunkan Thailand di Sukan Asia

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Kehadiran tekong utama negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi, disifatkan sebagai “senjata psikologi” paling ampuh untuk menggerunkan pihak lawan terutamanya musuh tradisi Thailand, pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan berlangsung September depan.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata Mohammad Syahir, memiliki kelebihan luar biasa yang mampu memberi impak besar kepada pasukan, malah kemampuannya di gelanggang amat dihormati skuad lain.

Beliau berkata meskipun pemain berkenaan sedang bergelut dengan kecederaan, PSM menaruh harapan tinggi agar Syahir dapat mencapai tahap kecergasan optimum dalam tempoh berbaki kurang dua bulan, sebelum kejohanan bermula.

“Mohammad Syahir mempunyai kelebihan tersendiri yang memang ditakuti oleh Thailand, sebab itu kita mahu dia berada dalam skuad,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Sumali menegaskan bahawa PSM mempunyai pelan sandaran, sekiranya proses pemulihan Mohammad Syahir tidak berjalan seperti yang dirancang.

Beliau berkata barisan tekong negara yang lain, kini menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan dan sudah bersedia memikul tanggungjawab pada peringkat antarabangsa.

“Kita memang sentiasa bersedia jika ditakdirkan Mohammad Syahir tidak dapat bermain akibat kecederaan tersebut. Kita mempunyai barisan tekong lain, yang saya kira sudah menunjukkan banyak peningkatan dan mampu bersaing dengan pemain lawan.

“Namun secara gambaran umumnya, impak positif daripada Syahir amat diperlukan. Jika berlaku penurunan prestasi semasa perlawanan berlangsung, di situlah nanti barisan jurulatih akan menilai untuk melakukan perubahan drastik berdasarkan kebijaksanaan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Mohammad Syahir terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan ketika beraksi pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026, pada Mei.

Bagi Sukan Asia, skuad lelaki Malaysia akan beraksi dalam dua acara iaitu regu berpasukan lelaki dan regu lelaki.

Dalam acara regu berpasukan lelaki, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama India, Filipina dan Jepun manakala bagi acara regu lelaki pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.