PUTRAJAYA, 28 JULAI:Sistem pengurusan prauniversiti Tingkatan Enam dikekalkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa aspek melibatkan pengurusan pelajar Tingkatan Enam selain skim berkaitan perkhidmatan guru.
“Buat masa sekarang, saya putuskan supaya prauniversiti Tingkatan Enam masih di bawah KPM,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga KPM di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi bermula tahun depan.
—BERNAMA







