Kerajaan komited tingkat imej, kualiti pendidikan tingkatan enam - Fadhlina

8 Jun 2026, 3:00 PM
Kerajaan komited tingkat imej, kualiti pendidikan tingkatan enam - Fadhlina

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Langkah penjenamaan semula dan pelaksanaan pelbagai inisiatif membuktikan Kerajaan MADANI tidak pernah berhenti berikhtiar untuk meningkatkan program Tingkatan Enam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata usaha itu termasuk langkah penjenamaan semula bagi meningkatkan imej, sistem dan kualiti pendidikan setaraf dengan pendidikan lepasan menengah yang lain.

“Program Tingkatan Enam memang sangat istimewa dan dekat di hati kami. Pelbagai inisiatif kami laksanakan untuk terus memartabatkan program ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata inisiatif seperti Bantuan Awal Persekolahan, penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam Kebangsaan dan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi awam dilaksanakan khusus untuk menyokong anak-anak Tingkatan Enam.

Fadhlina berkata Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia mempunyai nilai yang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah oleh lebih 2,000 universiti antarabangsa.

Terdahulu, beliau menyantuni pelajar Tingkatan Enam yang baharu mendaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Tahniah semua. Kalian telah melangkah setapak lagi ke hadapan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.