ASWARA perkasa seni, budaya menerusi Program Santuni Madani di Sungai Besar

28 Jul 2026, 2:14 AM
ASWARA perkasa seni, budaya menerusi Program Santuni Madani di Sungai Besar
ASWARA perkasa seni, budaya menerusi Program Santuni Madani di Sungai Besar
ASWARA perkasa seni, budaya menerusi Program Santuni Madani di Sungai Besar

SHAH ALAM, 28 JULAI: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) terus memperkukuh usaha memartabatkan seni dan warisan negara menerusi penganjuran Program Santuni Madani ASWARA 2026 yang menghimpunkan masyarakat setempat di Sungai Besar, Sabak Bernam.

Program selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai itu berlangsung di Pusat Aktiviti Homestay Kampung Sungai Haji Dorani dengan penyertaan kira-kira 70 peserta daripada pelbagai lapisan komuniti.

Peserta terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sabak Bernam, Sungai Besar dan Pasir Salak, selain persatuan penduduk, institusi pendidikan, pelajar sekolah serta penduduk sekitar.

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif berteraskan seni, budaya dan warisan yang sesuai untuk seisi keluarga.

Antara pengisian utama ialah bengkel muzik tradisional yang memberi pendedahan mengenai asas serta teknik memainkan alat muzik tradisional, bengkel tarian tradisional Melayu, selain bengkel seni halus merangkumi aktiviti cetakan (printmaking), seni kraf, batik canting dan tie-dye.

Dalam masa sama, ASWARA turut membuka kaunter informasi serta mengadakan sesi temu duga dan uji bakat bagi kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2026/2027.

Inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat melanjutkan pengajian dan mengembangkan bakat dalam bidang seni, budaya serta warisan.

Majlis penutupan program disempurnakan Rektor ASWARA Datuk 'Ainu Sham Ramli dan turut dihadiri Pegawai Daerah Sabak Bernam Ali Sadikin Sadin serta wakil Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam Noraini Ahmad Md. Yusof.

Turut hadir ialah pengerusi persatuan kebudayaan tempatan dan penduduk Kampung Sungai Haji Dorani.

Kemuncak majlis menyaksikan persembahan peserta bengkel muzik dan tarian yang mempamerkan hasil pembelajaran serta bakat yang diasah sepanjang mengikuti bimbingan tenaga pengajar ASWARA.

Penganjuran Program Santuni Madani ASWARA 2026 mencerminkan komitmen institusi itu untuk terus mendekati masyarakat, di samping memperluas akses pendidikan seni, budaya dan warisan agar terus subur serta dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

Kategorihebahan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.