Polis siasat insiden pekerja kilang papan temui objek menyerupai bom tangan, nota ugutan

27 Jul 2026, 11:15 AM
Polis siasat insiden pekerja kilang papan temui objek menyerupai bom tangan, nota ugutan

SUNGAI PETANI, 27 JULAI: Pekerja sebuah kilang papan di Bukit Selambau di sini digemparkan dengan penemuan objek seakan bom tangan berserta nota ugutan yang diletakkan di hadapan pintu utama bangunan pejabat kilang tersebut, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung insiden itu pada 12.30 tengah hari tadi.

"Kita menerima panggilan daripada seorang pekerja wanita di kilang berkenaan mengenai penemuan objek dan satu kertas nota yang dipercayai bermotifkan ugutan.

"Kita telah gerakkan Unit Pemusnah Bom (UPB) ke lokasi untuk menyiasat dan didapati objek tersebut menyerupai satu unit bom tangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kilang berkenaan beroperasi 24 jam dan objek tersebut ditemui oleh seorang daripada pekerja pada 10 pagi tadi.

"Objek ini menyerupai satu unit bom tangan tetapi ia didapati tidak berfungsi, maksudnya bukan yang lengkap…tapi kita dalam proses siasatan lanjut untuk mengenal pasti ia diperbuat sama ada daripada kayu atau besi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kita akan siasat dari pelbagai sudut dan ada saksi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan. Difahamkan ugutan ini kali pertama berlaku," katanya.

Hanyan berkata kawasan tempat objek itu ditemui tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), manakala nota bertulis tangan dalam Bahasa Melayu yang diletakkan bersebelahan objek tersebut menggunakan dakwat merah dengan ugutan agar satu operasi dihentikan.

"Maksud nota itu lebih kurang agar menghentikan operasi…Operasi apa itu masih dalam siasatan lanjut. Mungkin bagi sesetengah orang tiada ugutan, tapi untuk pihak pengurusan mungkin akan rasa itu adalah ugutan bagi dia," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.