PM: Kerajaan kaji kaedah tambah baik kenaikan pangkat pegawai kanan ATM

27 Jul 2026, 6:56 AM
PM: Kerajaan kaji kaedah tambah baik kenaikan pangkat pegawai kanan ATM

TAMPIN, 27 JULAI: Kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk menambah baik proses kenaikan pangkat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kenaikan pangkat dalam kalangan pegawai kanan ATM kadangkala mengambil masa lebih lama berbanding penjawat awam lain.

Anwar berkata sebelum ini penjawat awam, termasuk pasukan keselamatan telah menikmati tangga gaji baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Dalam kalangan pegawai tinggi, kadang-kadang kenaikan (pangkat) dia lambat bila dibandingkan atau ketimbang penjawat awam lain. Jadi saya kata kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar), boleh tak kita review (semak)?

“Dia bukannya banyak sangat, tapi kita tengok peruntukan kewangan. Dalam masa terdekat, kita akan putuskan supaya angkatan bersenjata kita merasakan mereka itu tidak terpinggir dan tidak dipinggirkan dan Insya-Allah kita akan laksanakan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.

Anwar berkata perkara itu telah dibincangkan dan akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat yang akan dipengerusikan beliau dalam masa terdekat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.