JAS Selangor arah 39 kontena bawa buangan terjadual keluar Malaysia

26 Jul 2026, 10:30 AM
JAS Selangor arah 39 kontena bawa buangan terjadual keluar Malaysia
JAS Selangor arah 39 kontena bawa buangan terjadual keluar Malaysia
JAS Selangor arah 39 kontena bawa buangan terjadual keluar Malaysia

SHAH ALAM, 26 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mengarahkan 39 kontena yang didapati membawa buangan terjadual keluar dari Malaysia susulan pemeriksaan terhadap 79 kontena di Pelabuhan Klang pada 21 dan 23 Julai lalu.

JAS memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati 39 daripada 79 kontena berkenaan membawa buangan terjadual, termasuk 25 kontena yang mengandungi buangan elektrik dan elektronik (e-waste).

Menurut agensi itu, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan bagi mengarahkan semua kontena yang membawa buangan terjadual berkenaan dipulangkan keluar dari Malaysia.

"Tindakan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan bagi mengarahkan kontena yang membawa buangan terjadual tersebut keluar dari Malaysia," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut agensi itu, tindakan pemulangan kontena itu membuktikan pendirian tegas Malaysia yang tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan berbahaya merentasi sempadan.

"Pemulangan kontena ini adalah amaran tegas bahawa Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan berbahaya merentasi sempadan selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya," katanya.

JAS juga memaklumkan, operasi dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Dalam pada itu, JAS mengingatkan bahawa sebarang pengimportan buangan terjadual tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar merupakan kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta," tegasnya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.