Kontraktor rugi RM50,400 diperdaya tender palsu KPKT

26 Jul 2026, 1:21 AM
Kontraktor rugi RM50,400 diperdaya tender palsu KPKT

KUALA TERENGGANU, 26 JULAI: Seorang kontraktor pendawaian kerugian sebanyak RM50,400 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran tender tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata pada 14 Julai lepas, mangsa lelaki berusia 52 tahun telah menerima satu e-mel mengandungi sebut harga pemasangan lampu jalan jenis solar LED di bawah peruntukan khas kerajaan tempatan.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dihubungi seorang suspek lelaki menyamar sebagai petugas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan menawarkan kontrak membekalkan alat jana kuasa mudah alih sebanyak tiga unit jenis Anker Solix F3800 berharga RM16,800 seunit.

"Suspek kemudiannya memperkenalkan mangsa kepada rakannya yang menyamar sebagai pembekal barangan, kononnya untuk memudahkan urusan pembelian.

"Mangsa yang terpedaya telah membuat dua kali bayaran sebanyak RM50,400 ke dua akaun berbeza pada 23 Julai lepas menggunakan wang perniagaan. Bagaimanapun, mangsa berasa curiga apabila usaha menghubungi kedua-dua suspek selepas itu gagal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 3.58 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.