SHAH ALAM, 25 JULAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membawa keluar seorang pendaki yang mengalami kecederaan di Gunung Nuang Kampung Pangsun Hulu Langat sedang giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata mangsa dilaporkan berada di kawasan Pos Pemeriksaan 5, di bawah Kem Lolo, dalam keadaan sedar namun tidak mampu berjalan.
Beliau berkata pasukan SAR kini sedang membawa mangsa turun ke kaki gunung dengan selamat.
"Operasi khas sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang melibatkan beberapa Balai Bomba bagi membawa keluar seorang pendaki yang mengalami kecederaan di Gunung Nuang.
"Mangsa berada di kawasan Check Point 5, di bawah Kem Lolo dalam keadaan sedar namun tidak mampu berjalan. Pasukan SAR sedang membawa mangsa turun dengan selamat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Johan, pihaknya menerusi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Dusun Tua turut membuat persiapan bagi menyambut pasukan penyelamat di kaki gunung.
Katanya, bantuan logistik termasuk makanan, minuman dan keperluan anggota akan disediakan sebaik operasi selesai bagi memastikan kebajikan pasukan penyelamat terus terpelihara.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Semoga operasi ini dipermudahkan dan semua anggota serta mangsa berada dalam keadaan selamat," katanya.
Sementara itu, menurut laporan awal JBPM, mangsa yang dikenali sebagai Nizam mendaki Gunung Nuang bersama dua lelaki dan seorang wanita.
Kumpulan tersebut dilaporkan tidak memaklumkan aktiviti pendakian kepada pihak bomba dan polis, namun mempunyai permit kebenaran mendaki yang sah daripada Jabatan Perhutanan.







