Polis tahan warga emas disyaki cabut bendera parti politik

24 Jul 2026, 5:30 AM
Polis tahan warga emas disyaki cabut bendera parti politik

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian beberapa bendera parti politik yang dipercayai dicabut di kawasan Dusun Setia di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.54 pagi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut dirakam oleh orang awam sebelum video berkenaan tular di media sosial.

“Rakaman video itu memaparkan seorang lelaki mencabut beberapa bendera parti politik yang dipasang di tepi jalan.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk merakam percakapan saksi dan mendapatkan analisis terhadap rakaman video berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Alzafny berkata sebanyak dua laporan polis diterima semalam, dan dua kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

"Secara kumulatif, sepanjang tempoh dari hari penamaan calon pada Sabtu lalu sehingga semalam, pihaknya menerima 14 laporan polis dan membuka sembilan kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.