Malaysia kekal tidak iktiraf Israel, dasar imigresen bukan perkara baharu

23 Jul 2026, 11:08 AM
Malaysia kekal tidak iktiraf Israel, dasar imigresen bukan perkara baharu

REMBAU, 23 JULAI: Malaysia sekali lagi menegaskan secara rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung dasar negara ini yang tidak pernah mengiktiraf Israel.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Duta Besar Malaysia di Washington Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sudah dipanggil oleh Jabatan Negara AS bagi memberi penerangan dan memaklumkan bahawa dasar tersebut bukanlah satu perkara baharu.

Beliau berkata perkara tersebut sedang diuruskan dengan baik oleh Malaysia.

"Memang menjadi dasar Malaysia, dasar Imigresen kita tidak memperakui negara Israel dan rejim Zionis. Ini sudah lama bukan baharu (tidak memperakui negara Israel).

"Kerana ada satu orang yang ada dua kewarganegaraan, AS dan Israel, dia datang ke sini menggunakan kewarganegaraan AS tetapi bila disemak semula, dia ternyata mempunyai satu lagi kewarganegaraan Israel, maka kita minta dia keluar," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program santai bersama ‘Tok Mat’ dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong Datuk Zaifulbahri Idris bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres AS menyuarakan rasa tidak berpuas hati atas keputusan itu.

Anwar berkata pendirian itu berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Sebelum ini, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Lapan Ahli Kongres daripada parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.