PUTRAJAYA, 23 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM43.62 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu lebihan RM3.62 bilion berbanding unjuran awal RM40 bilion.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Amran Ahmad berkata kutipan itu menunjukkan peningkatan 22.22 peratus berbanding RM35.69 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
"Bagi Januari hingga Jun 2026, JKDM mencatatkan prestasi positif dalam kutipan hasil dan penguatkuasaan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menunaikan mandat yang diamanahkan.
"Bagi mengekalkan momentum positif tersebut, JKDM akan memperkukuh pengurusan risiko, audit pematuhan dan operasi bersasar melalui pengoptimuman pengguna analitik data, teknologi serta pemprofilan yang lebih efektif," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan terhadap komoditi berisiko tinggi, penyalahgunaan kemudahan percukaian dan ketidakpatuhan turut dipertingkatkan bagi mencegah ketirisan hasil serta mencapai sasaran kutipan tahun ini.
"JKDM akan terus menambah baik strategi dan pendekatan sedia ada bagi mengekalkan momentum tersebut serta mencapai sasaran kutipan hasil RM80 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan untuk tahun ini," katanya.
Dari segi prestasi penguatkuasaan, Amran berkata JKDM berjaya mematahkan 3,609 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam.
Tindakan penguatkuasaan itu melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.3 bilion.
"Pencapaian ini merekodkan peningkatan ketara 21.5 peratus bersamaan RM230 juta berbanding RM1.07 bilion bagi tempoh sama tahun lepas," katanya.
Dari segi rampasan mengikut komoditi, Amran berkata dadah merekodkan 220 kes melibatkan kuantiti keseluruhan 2,750.11 kilogram (kg) dan 3,399.10 liter dengan nilai rampasan berjumlah RM366.58 juta.
Sementara itu, rokok mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 1,494 kes melibatkan 1,239.72 juta batang dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai RM329.27 juta.
"Ini diikuti oleh kenderaan yang merekodkan 511 kes melibatkan 2,026 unit dengan jumlah nilai RM191.07 juta, manakala minuman keras pula mencatatkan 417 kes melibatkan 1.79 juta liter dengan jumlah nilai RM81.41 juta.
"Bagi komoditi sisa dan skrap, 104 kes telah direkodkan melibatkan kuantiti keseluruhan 3,186.72 kg dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai RM40.13 juta, manakala bagi kategori lain-lain komoditi pula merekodkan 863 kes dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai RM295.64 juta," katanya.







