Cucu dua tahun maut dilanggar datuk ketika undur lori

23 Jul 2026, 7:46 AM
Cucu dua tahun maut dilanggar datuk ketika undur lori

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dilanggar lori dipandu datuknya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, Gurun, Kedah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, lapor Astro Awani.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata lelaki berusia 61 tahun itu dipercayai sedang mengundurkan lori panjang berkenaan di pekarangan rumah sebelum terlanggar cucunya.

"Lelaki itu tidak menyedari cucunya berada di bahagian belakang lalu melanggar mangsa. Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah.

"Lori tersebut yang digunakan untuk membawa baja didapati tidak membawa muatan ketika insiden berlaku," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.