Solat Jumaat satukan umat, perkukuh ukhuwah umat Islam

24 Jul 2026, 4:00 AM
Solat Jumaat satukan umat, perkukuh ukhuwah umat Islam
Solat Jumaat satukan umat, perkukuh ukhuwah umat Islam
Solat Jumaat satukan umat, perkukuh ukhuwah umat Islam
Solat Jumaat satukan umat, perkukuh ukhuwah umat Islam
Solat Jumaat satukan umat, perkukuh ukhuwah umat Islam

SHAH ALAM, 24 JULAI: Hikmah terbesar pensyariatan solat Jumaat bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, sebaliknya mengukuhkan ukhuwah dan menyatukan umat Islam menerusi pertemuan mingguan di masjid.

Penceramah bebas Ustaz Mirzan Majid berkata ibadah itu memberi peluang kepada jemaah mengenali jiran, mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam komuniti, sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam.

"Seminggu sekali kita jumpa kawan-kawan, seminggu sekali kita jumpa jiran tetangga. Ini hikmah terbesar pensyariatan solat Jumaat," katanya menerusi program Bicara Semasa dengan tajuk 'Solat Jumaat: Faham atau sekadar ikut?' terbitan Media Selangor.

Beliau berkata institusi masjid perlu terus diperkasakan sebagai pusat komuniti yang bukan sahaja menjadi tempat menunaikan ibadah, malah medan memperkukuh hubungan sesama masyarakat melalui aktiviti ilmu, dakwah dan kebajikan.

Katanya, fungsi itu perlu terus dipelihara agar masjid kekal menjadi pusat penyatuan umat dan hikmah sebenar pensyariatan solat Jumaat dapat dihayati seluruh masyarakat Islam.

Penceramah bebas, Ustaz Mirzan Majid dalam program Bicara Semasa di studio Media Selangor, Shah Alam pada 17 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Jangan sekadar kejar yang sah

Dalam pada itu, Ustaz Mirzan mengingatkan umat Islam supaya tidak sekadar mengejar status sah dalam menunaikan solat Jumaat sehingga mengabaikan tuntutan mendengar khutbah.

Solat Jumaat masih sah sekiranya seseorang sempat mengikuti sekurang-kurangnya satu rakaat bersama imam. Namun, keadaan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk datang lewat kerana jemaah telah melepaskan sebahagian daripada hikmah pensyariatan ibadah tersebut.

Katanya, perkara sama juga berlaku apabila seseorang hanya memilih untuk membaca teks khutbah lebih awal atau mengaksesnya secara dalam talian tanpa hadir ke masjid kerana pendekatan itu tidak mampu menggantikan hikmah sebenar solat Jumaat.

"Kita sebenarnya mengurangkan kesempurnaan solat Jumaat. Kalau dapat markah itu 100 peratus, kita mungkin dapat 50 peratus ataupun silap-silap takat lulus," katanya.

Jelasnya, umat Islam sewajarnya berusaha memperoleh kesempurnaan solat Jumaat dengan hadir lebih awal, mendengar khutbah serta menghayati pengajaran yang disampaikan, bukan sekadar memastikan ibadah itu sah.

Penceramah bebas, Ustaz Mirzan Majid dalam program Bicara Semasa di studio Media Selangor, Shah Alam pada 17 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

'Mini haji' satukan umat

Mengulas lanjut, Ustaz Mirzan menyifatkan solat Jumaat sebagai 'mini haji' kerana menghimpunkan umat Islam secara berkala bagi memperkukuh perpaduan serta hubungan persaudaraan sesama mereka.

"Kalau haji menghimpunkan umat Islam dari seluruh dunia, solat Jumaat pula menghimpunkan umat Islam di kawasan kita. Sebab itu saya sifatkan ia sebagai 'mini haji' kerana hikmah utamanya ialah ukhuwah dan perpaduan," katanya.

Katanya, perumpamaan itu tepat menggambarkan betapa besarnya hikmah solat Jumaat sebagai medan penyatuan umat Islam, sekali gus menunjukkan mengapa ibadah tersebut menjadi antara syiar penting yang perlu dipelihara setiap Muslim.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak memandang ringan kewajipan Solat Jumaat kerana sengaja meninggalkannya tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak merupakan perbuatan berdosa.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.