Jalan baharu Taman Kinrara mula dibina, siap pertengahan 2027

23 Jul 2026, 3:30 AM
Jalan baharu Taman Kinrara mula dibina, siap pertengahan 2027
Jalan baharu Taman Kinrara mula dibina, siap pertengahan 2027

PUCHONG, 23 JULAI: Projek pembinaan jalan penghubung antara Taman Kinrara Seksyen 4 dan Seksyen 5 mula dilaksanakan pada Mei lalu selepas diperjuangkan sekurang-kurangnya tiga tahun, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2027.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata projek bernilai RM2.4 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 15 peratus dengan kerja pembersihan tapak sedang dijalankan.

Menurutnya, jalan empat lorong sepanjang 550 meter itu akan menghubungkan Jalan TK 4/5 ke Jalan TK 5/1 sebelum bersambung ke Jalan TK 5/32.

"Projek ini turut dilengkapi dengan lampu isyarat, hentian bas, laluan pejalan kaki, bonggol jalan serta lampu jalan LED bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya," katanya ketika meninjau projek berkenaan semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya, Ng Seow Chen dan Lee Jen Uyin serta wakil MBSJ.

Sze Han yang juga EXCO Mobiliti berkata lampu isyarat akan dipasang di persimpangan Jalan TK 5/1 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han menunjukkan pelan projek pembinaan jalan penghubung yang menghubungkan Jalan TK 4/5 dan Jalan TK 5/1 di Taman Kinrara. Foto CHUAH CHEE WEI/MEDIA SELANGOR

"Pembukaan jalan ini merupakan berita baik kepada penduduk sekitar, terutamanya di Seksyen 4 dan Seksyen 5, kerana ia menjadi laluan utama yang menghubungkan kedua-dua kawasan perumahan ini," katanya.

Beliau berkata ketika ini penduduk kedua-dua kawasan bergantung kepada Jalan TK 5/32 sebagai laluan utama, namun jalan itu sempit dan sering mengalami kesesakan akibat kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Menurutnya, Jalan TK 5/32 turut menjadi laluan pintas dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS), sekali gus meningkatkan jumlah kenderaan di kawasan berkenaan.

"Dengan pembinaan jalan baharu ini, ia akan menjadi laluan utama yang lebih selamat dan selesa, manakala Jalan TK 5/32 yang sedia ada akan diubah menjadi jalan sehala dan berfungsi sebagai jalan dalaman bagi memastikan aliran trafik lebih teratur dan selamat," jelasnya.

Sze Han berkata Jalan TK 5/32 juga merupakan laluan bas Smart Selangor (SGA03), justeru dua hentian bas baharu akan dibina di sepanjang jalan baharu itu bagi memudahkan penduduk menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, beliau berkata cadangan pembukaan jalan berkenaan telah dikemukakan sejak beberapa tahun lalu, namun tertangguh berikutan isu tanah.

Jalan penghubung baharu di Taman Kinrara sepanjang 550 meter akan dilengkapi lampu isyarat, bonggol jalan, lampu jalan LED, laluan pejalan kaki dan hentian bas bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penduduk. Foto CHUAH CHEE WEI/MEDIA SELANGOR

"Akhirnya, MBSJ berjaya menyelesaikan pelbagai masalah teknikal membolehkan projek ini berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata projek itu direka mengikut konsep perbandaran moden dengan mengasingkan jalan utama dan jalan perumahan bagi mengurangkan beban trafik di kawasan kediaman serta meningkatkan keselamatan penduduk.

"Jalan baharu ini juga akan membantu memperbaiki sistem trafik di Taman Kinrara secara keseluruhan. Penduduk boleh masuk dan keluar melalui jalan baharu ini, menjadikan pergerakan trafik lebih selamat dan lancar," katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 blok pangsapuri dan lebih 10 taman perumahan terletak di sekitar jajaran itu, justeru projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada puluhan ribu penduduk.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.