SHAH ALAM, 4 JAN: Penghuni empat buah rumah di Taman Kinrara Seksyen 5, Puchong diminta berpindah sementara susulan rekahan serius pada dinding kediaman bagi membolehkan pemeriksaan teknikal serta kerja pembaikan dijalankan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata pemeriksaan sedang dilaksanakan bersama pasukan teknikal Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Beliau memaklumkan proses pemeriksaan berdepan cabaran kerana kawasan tersebut merupakan perumahan lama, selain kewujudan struktur tambahan di bahagian belakang rumah yang menghalang laluan asal.
“MBSJ sedang memastikan ujian tanah yang lebih mendalam dapat dijalankan tanpa menjejaskan keselamatan struktur sedia ada bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sze Han berkata, sementara menunggu penyelesaian teknikal, bantuan kecemasan RM500 telah disalurkan kepada setiap unit terjejas selain bantuan pemindahan ke penempatan sementara.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya, Lee Jen Uyin berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada 24 Disember lalu sebelum menasihatkan penghuni empat unit terlibat berpindah demi keselamatan.
“Dua unit telah berpindah ke penempatan sementara milik MBSJ di Pangsapuri Enggang, Taman Kinrara Seksyen 6, manakala satu unit masih belum berpindah dan selebihnya merupakan rumah kosong,” katanya.
Menurut beliau, semua pihak kini menumpukan usaha mengenal pasti punca rekahan sebelum kerja pembaikan dapat dilaksanakan.


