Iran dakwa serangan udara AS ragut 53 nyawa, 592 cedera sejak 27 Jun

22 Jul 2026, 2:30 PM
Iran dakwa serangan udara AS ragut 53 nyawa, 592 cedera sejak 27 Jun

ISTANBUL, 22 JULAI: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran sejak 27 Jun telah mengorbankan 53 orang dan mencederakan 592 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Iran pada Rabu ketika ketegangan di seluruh Asia Barat terus memuncak, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ketua Pusat Perhubungan Awam dan Penerangan kementerian itu, Hussein Kermanpour, berkata angka korban itu direkodkan bagi tempoh 27 Jun hingga 8.30 pagi Rabu (0530 GMT), menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X.

Beliau berkata daripada jumlah mangsa yang cedera, 535 orang telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan, manakala 36 lagi masih dirawat di hospital dan 21 menerima rawatan di lokasi kejadian.

AS telah melancarkan siri serangan ke seluruh Iran sejak minggu lepas, manakala Tehran membalas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan kemudahan dan pangkalan yang didakwanya digunakan oleh tentera AS di beberapa negara di rantau itu.

Kedua-dua pihak terus berbalas serangan meskipun memorandum persefahaman (MoU) rangka kerja yang diusahakan Pakistan serta ditandatangani oleh AS dan Iran pada Jun bertujuan menamatkan perang yang bermula pada Februari dan membuka laluan kepada perjanjian damai yang berkekalan.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.