Antara ciri penting yang membezakan tamadun yang berjaya dengan tamadun gagal ialah kemampuan mereka merancang masa hadapan. Sesebuah masyarakat yang hanya bertindak balas terhadap sesuatu krisis tanpa mempunyai pelan jangka panjang akhirnya akan sentiasa berada dalam keadaan defensif.
Sebaliknya, masyarakat yang memiliki visi, perancangan dan kemampuan menjangkakan cabaran akan lebih bersedia menghadapi perubahan zaman.
Dalam tradisi Islam, pendekatan ini dikenali sebagai Fiqh al-Tawaqqu’ - kefahaman dalam menjangkakan kemungkinan yang bakal berlaku, kemudian menyusun tindakan yang paling sesuai bagi merealisasikan maslahat serta mengelakkan mafsadah.
Ia bukan sekadar melihat apa yang berlaku hari ini, tetapi menilai kesan sesuatu keputusan terhadap masa hadapan.
Justeru, para ulama usul fiqh sering menghubungkan Fiqh al-Tawaqqu’ dengan konsep i’tibar al-ma’alat (melihat natijah sesuatu tindakan) serta muwazanah bayna al-masalih wa al-mafasid (menimbang antara manfaat dan mudarat).
Al-Quran sendiri mendidik umat Islam supaya membuat persediaan bagi menghadapi masa hadapan. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dipersiapkannya untuk hari esok.” (Surah al-Hasyr: 18)
Walaupun ayat ini merujuk kepada persediaan menghadapi akhirat, para ulama menjelaskan ia juga mendidik umat Islam supaya memiliki budaya berfikir ke hadapan, membuat persediaan dan tidak hidup tanpa perancangan.
Orang yang sentiasa memikirkan akibat daripada tindakannya akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Begitu juga firman Allah SWT:
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu...” (Surah al-Anfal: 60)
Perintah ‘bersiap sedia’ ini menunjukkan Islam tidak mengajar umatnya menunggu sehingga sesuatu musibah berlaku sebelum bertindak. Sebaliknya, persiapan dilakukan lebih awal bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Inilah roh Fiqh al-Tawaqqu’.
Rasulullah SAW sendiri merupakan contoh terbaik dalam aspek perancangan strategik. Peristiwa hijrah ke Madinah memperlihatkan bagaimana Baginda menyusun setiap langkah dengan begitu teliti.
Baginda memilih waktu yang sesuai untuk keluar dari Mekah, mengatur laluan yang tidak dijangka oleh musuh, mendapatkan penunjuk jalan yang mahir, membahagikan tugasan kepada para sahabat dan menyediakan sistem risikan serta bekalan makanan.
Setelah semua usaha dilakukan, barulah Baginda bertawakal kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Ikatlah untamu, kemudian bertawakallah kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menjadi kaedah penting bahawa tawakal tidak pernah bercanggah dengan perancangan. Bahkan tawakal yang sebenar ialah melakukan segala ikhtiar yang munasabah sebelum menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT.
Selepas hijrah, Rasulullah SAW tidak terus menumpukan kepada peluasan wilayah. Sebaliknya Baginda membina asas sebuah negara terlebih dahulu.
Masjid didirikan sebagai pusat pembangunan masyarakat, persaudaraan Muhajirin dan Ansar diperkukuhkan, Piagam Madinah digubal bagi mengurus hubungan pelbagai kaum dan agama, sementara sistem ekonomi dan pertahanan dibina secara berperingkat.
Semua ini merupakan perancangan jangka panjang yang akhirnya melahirkan sebuah negara yang stabil dan dihormati.
Begitu juga Saidina Umar bin al-Khattab. Ketika wilayah Islam berkembang dengan pesat, beliau tidak sekadar memikirkan kemenangan ketenteraan. Sebaliknya beliau membina institusi pentadbiran seperti Baitulmal, sistem kehakiman, pentadbiran wilayah, daftar tentera, sistem gaji penjawat awam serta takwim Hijrah.
Kesemua pembaharuan ini bukan untuk kepentingan semasa sahaja, tetapi bagi memastikan kestabilan negara untuk generasi yang akan datang.
Di sinilah pentingnya konsep muwazanah antara maslahat dan mafsadah. Tidak semua perkara yang kelihatan baik pada hari ini akan menghasilkan kebaikan pada masa hadapan.
Sebaliknya, ada keputusan yang mungkin sukar diterima pada ketika ia dilaksanakan, tetapi membawa manfaat yang jauh lebih besar kepada masyarakat.
Al-Quran memberikan panduan mengenai kaedah menilai manfaat dan mudarat apabila Allah SWT berfirman mengenai arak dan judi:
“Pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)
Ayat ini meletakkan satu kaedah penting dalam syariah, iaitu sesuatu keputusan tidak dinilai hanya berdasarkan manfaatnya semata-mata, tetapi mesti ditimbang bersama mudarat yang bakal berlaku. Jika mafsadah lebih besar daripada maslahat, maka syariat menghendaki mudarat tersebut dielakkan.
Atas asas inilah para ulama menggariskan beberapa kaedah fiqh yang menjadi panduan dalam Fiqh al-Tawaqqu’ antaranya:
1. Menolak kemudaratan didahulukan daripada memperoleh manfaat
2. Kemudaratan yang kecil boleh ditanggung bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat
3. Apabila bertembung dua kemudaratan, dipilih kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar
Kaedah-kaedah ini menjadikan seorang pemimpin atau pendakwah tidak mudah membuat keputusan hanya berdasarkan emosi atau tekanan semasa. Sebaliknya beliau perlu melihat kesan keputusan itu terhadap agama, masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang.
Dalam dunia hari ini, Fiqh al-Tawaqqu’ amat diperlukan dalam pentadbiran negara, pengurusan organisasi, pendidikan, ekonomi dan dakwah. Keputusan yang dibuat tanpa kajian, data serta unjuran masa hadapan sering membawa kerugian yang besar.
Sebaliknya, perancangan yang tersusun membolehkan pembinaan institusi, pembangunan modal insan, pengurusan kewangan yang lestari serta pewarisan kepimpinan berjalan dengan lebih baik.
Kesimpulannya, Fiqh al-Tawaqqu’ ialah satu manhaj al-Quran dan Sunnah yang mendidik umat Islam supaya menjadi umat yang berpandangan jauh.
Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin membuktikan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak dibina melalui tindakan yang tergesa-gesa, tetapi melalui perancangan yang rapi, pertimbangan maslahat dan mafsadah, serta kemampuan melihat kesan jangka panjang setiap keputusan.
Apabila budaya ini dihayati oleh umat Islam, segala dasar dan tindakan akan lebih berhikmah, lebih lestari dan lebih dekat dengan maqasid syariah, iaitu membawa rahmat serta kebaikan kepada seluruh manusia.







