KUALA LUMPUR, 6 MEI: Tradisi ketamadunan Islam telah menunjukkan bahawa agama dan sains boleh seiring dalam perkembangan ilmu, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda bertitah ada sesetengah aspek sejarah dunia moden yang mengajak untuk membayangkan agama dan sains dalam berpendirian yang saling tegang bertentangan, mahupun bersaing.
“Namun tradisi Islam mengingatkan kita bahawa ini bukan laluannya untuk memahami perkembangan ilmu.
“Sebuah tamadun boleh mengiktiraf akal tanpa memisahkannya daripada wahyu, penyelidikan boleh dialu-alukan tanpa meninggalkan nilai moral, malah penemuan baharu boleh diterokai tanpa melupakan hikmah,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian dalam titah ucapan diraja pada pembukaan Persidangan Diraja “Tradisi Sains Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran” yang berlangsung di Pusat Ketamadunan Islam (CIC), Tashkent, Uzbekistan hari ini sempena lawatan khas Seri Paduka Baginda ke negara itu.
Raja Permaisuri Agong bertitah cabaran masa kini bukan sahaja untuk menghayati ilmu yang diwariskan kepada tamadun moden hari ini, tetapi juga memperbaharui persekitaran yang membolehkan perkembangan ilmu yang lebih bermakna pada masa hadapan.
“Kita kini hidup dalam zaman yang diterajui kepantasan, potensi teknikal yang cukup besar dan penuh kelalaian. Maklumat bergerak pantas, namun penilaian dan pertimbangan tidak selalunya mampu mengikut rentaknya.
“Institusi-institusi mungkin berkembang lebih besar, namun tidak semestinya lebih mendalam. Kuasa mungkin bertambah, sedangkan kejelasan matlamat semakin lemah.
“Persoalan yang kita hadapi adalah mampukah kita mendapatkan semula sebuah visi pengetahuan berprinsip yang jitu dari segi intelek namun pada masa yang sama berpegang teguh pada nilai-nilai murni,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Raja Zarith Sofiah bertitah kerjasama dalam bidang pengajian dan penyelidikan ilmu antara Malaysia dan Uzbekistan adalah penting dalam membina persekitaran untuk perkembangan ilmu yang lebih mendalam dan berintegriti.
Seri Paduka Baginda bertitah walaupun dua negara itu dipisahkan oleh geografi, namun keterhubungan melalui penyebaran ilmu telah lama wujud.
“Dunia Melayu juga telah lama menerima manfaat daripada para sarjana yang datang dari seluruh pelosok dunia dan nama-nama yang dikaitkan dengan wilayah (Asia Tengah) seperti Maa Waraa’ al-Nahr dan Samarkand tidak asing lagi dalam ingatan intelektualnya.
“Ini mengingatkan kita bahawa tamadun Islam tidak pernah menjadi milik satu kaum sahaja. Ia telah dilestarikan merentasi pelbagai wilayah melalui pengembaraan, penyebaran, terjemahan, pengajaran dan penghormatan bersama terhadap ilmu pengetahuan,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah perkongsian antara Malaysia dan Uzbekistan dalam persidangan berkenaan membawa kepentingan yang melangkaui sekadar urusan pentadbiran malah menunjukkan komitmen bersama terhadap keilmuan, pemeliharaan dan pembaharuan.
“Ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk kita menghargai masa lalu bukanlah dengan hanya membicarakannya dari jauh, tetapi dengan membina keadaan yang membolehkan ilmu terus diterokai,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah Uzbekistan adalah antara tanah air bersejarah bagi keilmuan Islam.
“Nama-nama yang dikaitkan dengan wilayah ini masih tetap segar disegani dan dihormati di seluruh dunia Islam.
“Apabila kita mengimbas kembali tokoh-tokoh seperti Imam al-Bukhari, Imam al-Maturidi dan al-Biruni, kita diingatkan bahawa wilayah ini pernah menjadi pusat sesebuah tamadun di mana ilmu diterokai dengan penuh ketelitian dan kemuliaan,” titah Raja Zarith Sofiah.
Terdahulu, keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke persidangan itu diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Ilham Tuah Illias serta disambut Menteri Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan Kongratbay Avezimbetovich Sharipov.
Persidangan Diraja anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC) Tashkent itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Azman Mokhtar dan Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Seri Paduka Baginda yang juga Canselor UTM turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dengan lima agensi di Uzbekistan, iaitu Pusat Peradaban Islam, Tashkent; Pusat Kajian Antarabangsa Imam Maturidi, Akademi Islam Antarabangsa Uzbekistan, Universiti Tashkent bagi Pengajian Oriental dan Pusat Kajian Antarabangsa Imam Bukhari, Samarkand.
Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyaksikan penyerahan 20,000 naskhah mushaf al-Quran versi Malaysia dari Nasyrul Quran kepada Lembaga Waqaf Uzbekistan.
-- BERNAMA








