Pegawai Perhubungan Sekolah pantau isu buli, keselamatan pelajar - Menteri

22 Jul 2026, 12:43 PM
Pegawai Perhubungan Sekolah pantau isu buli, keselamatan pelajar - Menteri

KULIM, 22 JULAI: Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditempatkan di sekolah-sekolah bukan sahaja berperanan menangani isu buli, malah memantau semua aspek keselamatan termasuk sebarang insiden yang melibatkan pelajar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuh pemantauan menerusi penempatan PPS di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail . Foto BERNAMA

"Kalau melibatkan isu keselamatan, kita memang ikhtiar dan kita ada PPS yang terdiri daripada pegawai polis. Selain itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga hantar pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke sekolah dan mereka diberikan tanggungjawab untuk mengawasi dalam semua aspek.

"Jadi, bukan sahaja soal keselamatan berkaitan buli, malah termasuk juga satu dua insiden lain yang berlaku misalnya pelajar terjatuh di sekolah seperti insiden di Kuala Nerang baru-baru ini yang masih lagi dalam siasatan pihak polis," katanya ketika mengulas mengenai kes buli membabitkan pelajar sekolah termasuk kejadian di Cheras yang tular baru-baru ini.

Beliau ditemui pemberita hari ini, selepas meninjau keadaan bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, di sini, yang terlibat kebakaran awal pagi semalam.

Saifuddin Nasution berkata PPS terdiri daripada para pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah (IPD) atau balai polis berhampiran yang ditugaskan mendampingi pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar menerusi pelbagai program libat urus.

Beliau berkata inisiatif itu telah dilaksanakan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha PDRM bagi memastikan persekitaran sekolah adalah tempat yang selamat untuk anak-anak.

Sementara itu beliau berkata seramai 116 pelajar terkesan susulan kebakaran yang memusnahkan bangunan asrama mereka dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi Selasa.

"Tindakan segera ialah kita berikan bantuan tunai RM500 kepada setiap pelajar kerana sebahagian mereka yang sempat saya temu bual, ada yang tinggal sehelai sepinggang, habis semua. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka untuk menyediakan semula kelengkapan sekolah.

"Pada masa yang sama, dengan persetujuan Perdana Menteri yang saya laporkan insiden ini kepada beliau tadi, saya memohon supaya peruntukan segera sebanyak RM200,000 dapat diberikan bagi tujuan membina bangunan sementara," katanya.

Saifuddin Nasution berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui khidmat van bergerak juga akan datang ke sekolah berkenaan bagi membantu proses penggantian kad pengenalan pelajar yang terbakar secara percuma.

"Kerajaan MADANI meletakkan cakna pada tahap tertinggi apabila berlaku insiden seperti ini kerana ia melibatkan kemudahan anak-anak yang bersekolah.

"Jadi, sedaya upaya kita akan memanfaatkan peruntukan segera yang sedia ada melalui Pejabat Pembangunan Negeri bagi meringankan beban anak-anak ini, terutama dalam menyediakan kembali kelengkapan sekolah dan kelengkapan pembelajaran," katanya.

Selain itu beliau berkata pejabatnya turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.