Polis tumpas pusat panggilan scam, tahan 40 warga asing di Kajang dan Serdang

22 Jul 2026, 10:15 AM
Polis tumpas pusat panggilan scam, tahan 40 warga asing di Kajang dan Serdang

SHAH ALAM, 22 JULAI: Polis menahan 40 warga asing dalam serbuan berasingan di empat premis kediaman yang digunakan sebagai pusat panggilan penipuan di Kajang dan Serdang dari 15 hingga 20 Julai.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek termasuk empat wanita berusia 22 hingga 55 tahun dipercayai berperanan sebagai operator khidmat pelanggan bagi aktiviti penipuan jual beli barangan dalam talian, pelaburan serta love scam.

Beliau berkata serbuan turut merampas peralatan dan barangan elektronik bernilai RM46,000 termasuk naskhah skrip dipercayai digunakan terhadap mangsa di luar negara.

“Siasatan awal mendapati mereka menerima upah sehingga RM3,000 namun ada antara suspek belum menerima upah kerana baru terlibat dalam sindiket itu,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Shazeli berkata semakan awal mendapati suspek masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas pelancong.

Beliau berkata semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.