PUTRAJAYA, 22 JULAI: Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan penyertaan lima juta belia di seluruh negara dalam Kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli bagi meningkatkan kesedaran selain melahirkan generasi muda yang lebih peka serta cakna dalam membendung budaya buli.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penyertaan itu dijangka mengurangkan 35 peratus kes buli yang dilaporkan khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang tahun depan.

"Berdasarkan rekod tahun sebelum ini, kita melihat angka kes buli melebihi 7,000 kes... kita mengharapkan agar tahun hadapan angka itu dapat diturunkan malah suatu hari nanti dapat mencapai sifar buli di negara kita," katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen itu di sini hari ini.
Kempen itu adalah sebuah gerakan nasional di bawah inisiatif Rakan Muda bagi membudayakan kepekaan dan keberanian untuk bertindak secara selamat serta menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia bagi membanteras budaya buli.
Mohammed Taufiq berkata kempen itu akan digerakkan setiap bulan menerusi jelajah ke sekolah, IPT dan program Jelajah Rakan Muda, dengan KBS memantau impaknya bagi memastikan ia menyumbang kepada penurunan kadar kes buli.
"Kita juga menyediakan satu platform yang sangat penting iaitu antibuli.my, yang boleh diakses oleh semua untuk mendapatkan konsultasi serta meluahkan apa sahaja yang mereka rasakan... platform ini bersifat sulit dan boleh diakses secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata platform itu menyediakan maklumat berkaitan langkah tindakan awal, akses kepada bantuan dan sokongan kepada individu yang berdepan situasi buli.
"Platform ini dijangka menjadi pusat rujukan sehenti yang memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang sahih sekali gus menggalakkan tindakan awal dalam mencegah dan menangani isu buli," katanya.
Mohammed Taufiq berkata platform itu akan melengkapi saluran bantuan sedia ada seperti Talian Kasih dengan berperanan sebagai pusat rujukan yang menyalurkan aduan kepada pihak yang memiliki kepakaran bagi memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya.
"Sebaik sahaja aduan dibuat, kita akan terus menyalurkannya kepada Talian Kasih dan saluran berkaitan... mereka akan menghubungi secara terus individu yang dibuli... berkenaan konsultasi, penyelesaian dan sebagainya, sudah tentu kita memerlukan kerjasama kementerian lain yang telah mempunyai platform masing-masing," katanya.







