Kes seludup dadah, 180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara

22 Jul 2026, 8:45 AM
Kes seludup dadah, 180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah dari Januari 2024 hingga April lalu, dengan majoritinya dipercayai diperalatkan sindiket antarabangsa sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata jumlah itu melibatkan 84 tangkapan pada 2024, 66 tangkapan tahun lalu dan 30 lagi bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata meskipun trend tangkapan menunjukkan penurunan, jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara berkaitan kes keldai dadah masih membimbangkan.

“Negara yang menjadi tumpuan tangkapan rakyat Malaysia ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.

“Kebanyakan mereka terpedaya dengan tawaran pekerjaan atau ganjaran lumayan tanpa menyedari risiko serta implikasi undang-undang berat di negara berkenaan,” katanya.

Hussein berkata bagi kes tangkapan keldai dadah di Malaysia, jumlah direkodkan adalah sama pada 2025 dan tempoh Januari hingga April tahun ini iaitu masing-masing 25 individu membabitkan rakyat tempatan serta warga asing.

Katanya, rakyat Malaysia mencatat jumlah tangkapan tertinggi pada 2025 iaitu seramai 12 orang, diikuti warga Taiwan (lima), Britain dan Maldives (masing-masing tiga) serta Indonesia (dua).

“Bagi Januari hingga April tahun ini, rakyat Malaysia sekali lagi mencatat jumlah tertinggi dengan tujuh tangkapan,” katanya.

Beliau berkata tempoh berkenaan turut menyaksikan tangkapan membabitkan lima warga Britain, empat warga Singapura, tiga warga Perancis dan dua warga Indonesia.

Katanya, masing-masing seorang warga Hong Kong, Thailand, Slovakia dan Ireland turut ditahan dalam tempoh sama.

Menurut Hussein, lapangan terbang masih menjadi laluan utama pergerakan keldai dadah, khususnya membabitkan sindiket antarabangsa.

“Bagaimanapun, pintu masuk lain seperti pelabuhan dan sempadan darat turut digunakan sindiket, namun modus operandi berbeza berbanding penggunaan keldai dadah di lapangan terbang,” katanya.

Katanya, kerjasama antarabangsa turut memainkan peranan penting dalam usaha mengekang sindiket dadah rentas sempadan menerusi perkongsian risikan, operasi bersama dan pertukaran maklumat.

“Maklumat risikan hasil soal siasat terhadap keldai dadah yang ditahan di Malaysia akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa dadah berkaitan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket di luar negara. Bagi rangkaian ahli sindiket di Malaysia, JSJN akan meneruskan siasatan di negara ini,” katanya.

Hussein berkata pertukaran maklumat risikan itu membantu pihak berkuasa mengenal pasti serta melumpuhkan beberapa rangkaian sindiket termasuk aktiviti merekrut keldai dadah di peringkat antarabangsa.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.