SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 55 rakyat Malaysia ditahan di luar negara selepas dipercayai terlibat sebagai ‘keldai dadah’ bagi sindiket penyeludupan antarabangsa dalam tempoh Januari hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, 50 individu adalah lelaki manakala lima lagi perempuan.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan di 19 negara, dengan jumlah tertinggi dilaporkan di Indonesia (10 orang), diikuti Singapura (9), Kemboja (6), Taiwan (6) dan Thailand (5).
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius peningkatan kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan orang awam sebagai mangsa.
Sindiket kini aktif menggunakan media sosial, iklan kerja palsu serta tawaran perjalanan ditaja untuk merekrut mangsa baharu,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, golongan belia, pencari kerja, pelajar dan individu berpendapatan tidak stabil antara yang sering menjadi sasaran sindiket.
Mangsa diumpan dengan tawaran upah lumayan antara RM1,000 hingga RM10,000, termasuk tiket penerbangan, penginapan dan janji pekerjaan mudah tanpa pengalaman - sedangkan sebenarnya mereka diarahkan membawa bagasi atau bungkusan yang mengandungi dadah.
Tambah beliau, sindiket menggunakan pelbagai modus operandi canggih, antaranya menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, perabot, makanan, peralatan elektronik dan juga melalui perkhidmatan kurier.
“Kaedah body packing (menelan dadah) turut dikesan. Destinasi utama penyeludupan termasuk United Kingdom, beberapa negara Eropah dan Asia Timur,” jelasnya.
Antara jenis dadah yang sering diseludup ialah Methamphetamine (syabu), MDMA (ecstasy), ganja dan kokain, bergantung kepada permintaan pasaran semasa.
Beliau mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran mencurigakan di media sosial atau platform kerja dalam talian.
“Alasan tidak tahu kandungan bagasi tidak diterima di kebanyakan negara. Banyak negara mempunyai undang-undang dadah yang amat tegas termasuk hukuman mati,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya terus ke talian Hotline JSJN di 012-208 7222.




