KULIM, 22 JULAI: Seorang lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 11 pasport milik warga Bangladesh tanpa kuasa yang sah, bulan lepas.
Salman Mallik, 49, didakwa memiliki pasport tersebut yang dikeluarkan kepada warga Bangladesh untuk kegunaan orang lain tanpa kuasa yang sah di sebuah premis di Taman Senangin di sini, kira-kira 7 malam 27 Jun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150), yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya S. Preeyaa menawarkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.
Bagaimanapun, peguam Lim Sheng Zhe merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang siasatan selain lelaki itu menanggung kos rawatan dan menjaga isterinya.
Majistret Nor Hamizah Mat Shah membenarkan jaminan RM4,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 13 Sept untuk sebutan semula kes.







