SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Nepal sedang mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani status individu yang masih belum dapat ditentukan susulan bencana banjir dan tanah runtuh, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses dan dokumentasi yang berkenaan sekiranya langkah tersebut dilaksanakan,” menurut kenyataan hari ini.
Perkara itu antara dibincangkan dalam pertemuan Wisma Putra bersama 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili 55 rakyat Malaysia terjejas.
Sesi berkenaan turut membincangkan proses perundangan dan pentadbiran yang mungkin terpakai kepada keluarga ketika usaha berkaitan memasuki fasa jangka panjang.
Taklimat turut disertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir bagi memberikan sokongan kepada keluarga sepanjang sesi.
Wisma Putra berkata Kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal dan menyelaras tindakan dengan agensi berkaitan.
Menurutnya, sebarang penentuan status individu serta pengeluaran dokumen rasmi tertakluk kepada undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa di Nepal dan Malaysia.
Kementerian turut menggesa orang ramai dan media menghormati privasi keluarga serta tidak membuat spekulasi mengenai individu yang statusnya masih belum disahkan.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi berdasarkan maklumat yang telah disahkan.










