SHAH ALAM, 22 JULAI: Sebarang gangguan operasi di tapak pelupusan sampah Jeram boleh menjejaskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Selangor, justeru langkah pencegahan dan pelan kontingensi perlu diperkukuhkan.
Pengurus Besar Kanan Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Mohd Idris Mohamed Yusof berkata gangguan di tapak pelupusan memberi kesan langsung kepada operasi syarikat kerana KDEBWM merupakan pihak yang mengendalikan perkhidmatan kutipan sisa kepada rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"KDEBWM bukan operator tapak pelupusan, sebaliknya kami berurusan secara langsung dengan rakyat dan PBT. Sebarang gangguan di Jeram akan memberi kesan terus kepada perkhidmatan kutipan sisa dan aduan awam," katanya kepada Media Selangor.
Sehubungan itu, Mohd Idris berkata penyelenggaraan di tapak pelupusan perlu dilaksanakan secara proaktif menerusi pendekatan penyelenggaraan pencegahan bagi mengurangkan risiko gangguan operasi, dan bukannya hanya mengambil tindakan selepas sesuatu masalah berlaku.
"Pendekatan penyelenggaraan secara pencegahan perlu diperkukuhkan supaya risiko gangguan dapat dikurangkan serta operasi dapat diteruskan tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Selain itu, Mohd Idris berkata setiap tapak pelupusan perlu mempunyai pelan kesinambungan operasi yang mantap bagi menghadapi insiden luar jangka seperti kerosakan peralatan atau cuaca buruk.
Katanya, pelan berkenaan perlu merangkumi laluan alternatif, penyediaan jentera sokongan, bekalan kuasa sandaran serta langkah pengurusan operasi ketika cuaca buruk.
"Pelan kontingensi yang menyeluruh amat penting bagi memastikan operasi pelupusan dapat diteruskan walaupun berlaku kerosakan peralatan atau keadaan cuaca yang mencabar," jelasnya.
Menurut beliau, komunikasi awal daripada pihak pengurusan tapak pelupusan kepada syarikat kutipan sisa juga perlu dipertingkatkan bagi membolehkan penyelarasan operasi dilakukan dengan lebih berkesan.
"Maklumat awal membolehkan kami menyusun semula jadual, laluan dan penggunaan aset bagi meminimumkan gangguan kepada rakyat," katanya.

Mohd Idris menegaskan pengurusan trafik lori dan kapasiti operasi di Jeram turut memerlukan perancangan lebih sistematik memandangkan tapak pelupusan itu menerima antara 800 hingga 1,000 lori setiap hari.
"Dengan jumlah kemasukan lori yang tinggi setiap hari, pengurusan trafik dan kapasiti operasi perlu diperkemas bagi memastikan proses pelupusan berjalan lancar," ujarnya.
Menurut beliau, kejayaan operasi kutipan sisa bukan sahaja bergantung kepada KDEBWM, malah memerlukan setiap komponen dalam rantaian pengurusan sisa, termasuk tapak pelupusan, beroperasi secara cekap.
"Insiden seperti ini menunjukkan keperluan penambahbaikan secara berterusan supaya operasi pelupusan lebih stabil, berdaya tahan dan tidak menjejaskan perkhidmatan kutipan sisa di lapangan," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman memaparkan kesesakan lori di tapak pelupusan sampah Jeram sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kelancaran operasi pelupusan sisa.
Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Danial Liew bagaimanapun menjelaskan rakaman itu merujuk kepada kejadian sementara pada 11 Julai lalu yang berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira sejam.
Beliau berkata video itu dikongsi semula sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah kesesakan berlaku secara berterusan, sedangkan ia dipengaruhi faktor cuaca, gangguan bekalan elektrik dan kemasukan lori yang tinggi.








