PKPS perluas pemasaran produk Ehsan melalui rangkaian PERNAMA

22 Jul 2026, 4:55 AM
PKPS perluas pemasaran produk Ehsan melalui rangkaian PERNAMA
PKPS perluas pemasaran produk Ehsan melalui rangkaian PERNAMA

SHAH ALAM, 22 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjalin kerjasama strategik dengan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) bagi memperluas pemasaran produk jenama Ehsan pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sebanyak 27 produk jenama Ehsan, termasuk beras dan minyak masak, akan dipasarkan menerusi rangkaian PERNAMA.

“Pemilihan produk jenama Ehsan dibuat berdasarkan analisis pasaran dengan mengutamakan barangan yang mendapat permintaan tinggi serta menjadi keperluan anggota tentera.

“Ketika ini, sebanyak 27 produk akan dipasarkan melalui rangkaian PERNAMA. Antara produk yang ditawarkan ialah Ehsan Chocomalt, Ehsan Sardin, beras lima kilogram, beras 10 kilogram, minyak masak dan beberapa lagi produk keperluan harian,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad Khairil berkata, pemilihan produk tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi analisis bersama PERNAMA bagi memastikan barangan yang ditawarkan memenuhi keperluan anggota tentera.

Menurutnya, kerjasama antara PKPS dan PERNAMA telah dimulakan menerusi penganjuran Program Jualan Jimat PERNAMA di beberapa lokasi terpilih, antaranya Kem Mahkota di Kluang, Pangkalan Udara Subang, Kem Terendak di Melaka serta Mentakab, Temerloh.

“Produk-produk yang kita jual mendapat penerimaan baik dan disukai oleh anggota tentera yang hadir sepanjang program jualan yang dilaksanakan bersama pihak PERNAMA,” katanya.

Dalam usaha memastikan anggota tentera menikmati harga yang lebih kompetitif, Mohamad Khairil berkata, PKPS dan PERNAMA akan meneliti satu rangka kerja berkaitan mekanisme pengurangan harga produk.

Beliau berkata, produk sedia ada kini ditawarkan pada harga antara 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Selaras dengan syor daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kita akan menurunkan lagi harga supaya ia menjadi lebih murah dan lebih kompetitif berbanding pasaran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kawalan harga akan dilaksanakan secara bersama antara PKPS dan PERNAMA menerusi pasukan khas yang akan meneliti harga belian serta harga jualan bagi memastikan kebajikan anggota tentera terus diberi keutamaan.

Bagi menyokong bekalan produk bagi program bersama PERNAMA, PKPS menggunakan kemudahan Gudang Makanan Selangor (GMS) sebagai pusat penyimpanan stok makanan.

Menerusi kemudahan GMS, PKPS dapat memastikan bekalan produk sentiasa mencukupi sebelum diedarkan ke lokasi pelaksanaan program.

Tambah Mohamad Khairil, bagi memastikan kerjasama ini dapat diteruskan dalam jangka panjang, PKPS dan PERNAMA akan mengadakan perbincangan bagi menentukan model pelaksanaan yang sesuai.

“Kita mempunyai jawatankuasa yang akan bersidang untuk meneliti rangka kerja yang kukuh bagi melaksanakan kerjasama ini, sekali gus memastikan program lebih mampan dan terus memberi manfaat kepada anggota tentera dalam jangka panjang,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.