Polis KL adakan perhimpunan bulanan waktu malam, cerminkan tugas 24 jam

22 Jul 2026, 12:20 AM
Polis KL adakan perhimpunan bulanan waktu malam, cerminkan tugas 24 jam

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Polis Kuala Lumpur membuat kelainan apabila mengadakan perhimpunan bulanan pada waktu malam bagi mencerminkan realiti penugasan pasukan itu yang beroperasi 24 jam sehari.

Perhimpunan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu dihadiri kira-kira 1,100 pegawai kanan, pegawai rendah polis dan kakitangan awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pendekatan itu diambil kerana kebanyakan kejadian jenayah di ibu negara berlaku pada waktu malam, selain sebahagian besar operasi, risikan dan siasatan polis turut dilaksanakan pada waktu berkenaan.

Beliau berkata perhimpunan pada waktu malam juga bertujuan menyemarakkan budaya kerja warga polis Kuala Lumpur supaya lebih aktif pada waktu berkenaan, sejajar cabaran penugasan di ibu negara yang tidak pernah terhenti.

“Dengan membawa perhimpunan sebegini, ia akan menjadikan budaya aktif waktu malam itu lebih agresif, selari dengan ‘Kuala Lumpur that never sleeps’,” katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Fadil bagaimanapun berkata perhimpunan yang diadakan pada waktu malam itu tidak menjejaskan penugasan pegawai dan anggota dalam menjaga keselamatan di bandar metropolitan berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.