ASEAN perkukuh keselamatan media sosial, tangani ancaman deepfake dan AI

21 Jul 2026, 3:00 PM
ASEAN perkukuh keselamatan media sosial, tangani ancaman deepfake dan AI

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Negara anggota ASEAN sedang membangunkan garis panduan penggunaan media sosial secara selamat bagi menangani peningkatan ancaman kandungan pemalsuan wajah (deepfake) dan penyebaran maklumat palsu menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sekretariat ASEAN di Jakarta, Hazremi Hamid berkata garis panduan itu akan memberi tumpuan kepada prosedur pengendalian maklumat tidak tepat selain memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) akan menyediakan peruntukan asas untuk memperkukuh keselamatan dalam talian di semua negara anggota.

“Negara anggota juga perlu memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran awam dan menyediakan latihan supaya masyarakat lebih berupaya membezakan imej serta kandungan yang dijana menggunakan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai forum mengenai perkembangan pesat AI pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La, petang tadi.

Ahli panel membincangkan kerentanan, keupayaan dan landskap kecerdasan buatan (AI) pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur pada 21 Julai 2026. Turut serta Moderator Ahli Suruhanjaya SKMM Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod, Fazlan Ahmad (CyberSecurity Malaysia), Hazremi Hamid (Sekretariat ASEAN Jakarta), Azuree Hydani Misri (CelcomDigi) dan Victoria Wymark (PwC Asia Tenggara). Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurut Hazremi, negara anggota juga perlu memastikan kandungan yang dijana AI dilabel dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan serta mengurangkan risiko penyebaran maklumat palsu.

Katanya, pelaksanaan garis panduan keselamatan digital di peringkat ASEAN turut dirintis Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha menggalakkan penggunaan media sosial yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Mengulas langkah Malaysia yang akan menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun, Hazremi menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah yang wajar dalam melindungi pengguna muda.

“Langkah itu merupakan satu inisiatif penting ke arah mewujudkan persekitaran media sosial yang lebih selamat, bertanggungjawab dan kondusif untuk semua pengguna,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (dua, kiri) Timbalan Menteri Komunkasi Teo Nie Ching (dua, kanan) Anggota Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Derek John Fernandez (kiri) Pengerusi SKMM Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan) merasmikan Majlis Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri’la Kuala Lunpur pada 21 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Kerajaan memberi masa kepada pengendali media sosial untuk melaksanakan penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial, yang mula berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kelonggaran itu susulan permintaan pengendali platform terbabit yang memohon tempoh bersesuaian.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.