HARAPAN tegas hormati institusi adat, tolak percaturan politik

21 Jul 2026, 1:16 PM
HARAPAN tegas hormati institusi adat, tolak percaturan politik

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (HARAPAN), Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan sebarang pertikaian membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan Undang di Negeri Sembilan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu diselesaikan mengikut ekosistem undang-undang adat.

Beliau berkata institusi adat mesti dihormati dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengubah landskap politik negeri.

"Yang menentukan keabsahan Undang dan seterusnya kedudukan Yang di-Pertuan Besar wajar diselesaikan dalam ekosistem undang-undang adat. Ia tidak layak dicampur aduk dengan pertimbangan politik," katanya dalam temu bual bersama Suara TV baru-baru ini.

Amirudin mendakwa kemelut politik di Negeri Sembilan bermula selepas Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum muncul usaha membentuk jajaran politik baharu bagi mengambil alih pentadbiran negeri.

Katanya, percaturan itu berlaku walaupun kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 mempunyai majoriti yang jelas.

"Berlaku usaha mengubah struktur politik Negeri Sembilan yang dibentuk hasil mandat rakyat pada PRN 2023 sehingga kerajaan berada dalam keadaan tidak menentu," katanya.

Menurut Amirudin, ketidaktentuan politik yang berpanjangan hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur, mengganggu pentadbiran kerajaan dan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pengalaman negara antara 2020 hingga 2022 membuktikan pertukaran kerajaan yang kerap tidak membawa manfaat kepada ekonomi mahupun pentadbiran.

"Jika ketidaktentuan itu berterusan, keyakinan pelabur akan terjejas, rakyat tidak mendapat kepastian dan urusan pentadbiran di pelbagai peringkat akan menjadi sukar," katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berpandangan jalan terbaik ialah mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan yang mempunyai legitimasi jelas untuk mentadbir Negeri Sembilan.

Pada masa sama, beliau menegaskan HARAPAN kekal berpegang kepada pendirian menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang Adat seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

"Perkara ini perlu diperjelaskan supaya kita tidak tenggelam dalam pertikaian atau dilihat cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang membabitkan kedudukan dan kesahan institusi adat, termasuk isu berkaitan pengesahan Undang dan Yang di-Pertuan Besar.

"Jika ada pihak mahu mengambil alih pentadbiran bukan melalui pilihan rakyat, maka mandat itu perlu dikembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.