Prestasi pelaburan RM19 bilion sandaran HARAPAN pertahan Negeri Sembilan

21 Jul 2026, 12:49 PM
Prestasi pelaburan RM19 bilion sandaran HARAPAN pertahan Negeri Sembilan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Rekod pelaburan Negeri Sembilan yang mencecah RM19 bilion menjadi antara sandaran utama Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mempertahankan pentadbiran negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato' Seri Amirudin Shari berkata pencapaian tersebut membuktikan pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan bernilai tinggi serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato' Seri Amirudin Shari

"Angka-angka makro seperti pertumbuhan ekonomi, nilai ekonomi dan jumlah pelaburan yang mencecah RM19 bilion, yang tidak pernah dicapai sebelum ini, membuktikan pentadbiran beliau berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri, di samping melaksanakan pelbagai program kemakmuran rakyat," katanya dalam sesi temu bual bersama Suara TV baru-baru ini.

Beliau berkata rekod pencapaian itu turut meningkatkan keyakinan penjawat awam dan masyarakat terhadap kepimpinan Aminuddin sebagai Menteri Besar yang berupaya mentadbir negeri dengan berkesan.

"Pandangan penjawat awam dan masyarakat terbanyak menganggap beliau sebagai Menteri Besar yang berjaya melaksanakan tanggungjawabnya serta mampu membawa kebaikan dan kemakmuran kepada Negeri Sembilan.

"Akhirnya penentuan dibuat oleh rakyat di peti undi dan siapa yang mendapat dukungan rakyat itulah yang akan diberikan amanah untuk meneruskan pentadbiran Negeri Sembilan," katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bergambar ketika mengadakan lawatan ke sebuah kuil Hindu di Pasir Panjang, Negeri Sembilan, pada 19 Julai 2026

Sehubungan itu, Amirudin berkata HARAPAN mengekalkan Aminuddin sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu sekali lagi diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau berkata landskap politik Negeri Sembilan tidak boleh disamakan dengan Johor kerana kedua-dua negeri mempunyai dinamik politik dan struktur pentadbiran yang berbeza.

Menurutnya, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor dipengaruhi kedudukan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar penyandang yang mentadbir negeri secara bersendirian sejak 2022, selain memiliki kelebihan daripada aspek jaringan pentadbiran dan jentera kerajaan.

"Johor dan Negeri Sembilan berbeza. Di Johor, BN merupakan kerajaan yang mentadbir secara bersendirian sejak 2022, manakala di Negeri Sembilan kita merupakan kerajaan penyandang yang telah diberi amanah mentadbir sejak 2018," ujarnya.

Bagaimanapun, Amirudin berkata keputusan Pilihan Raya Johor tetap dijadikan iktibar oleh HARAPAN untuk menilai semula pendekatan kempen, khususnya selepas berlaku penyusutan sokongan dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu dan India meskipun sokongan masyarakat Cina kekal memberangsangkan.

"Kita telah kembali ke meja rundingan untuk menilai semula beberapa pendekatan dan pengalaman di Johor akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata Negeri Sembilan mempunyai kelebihan kerana HARAPAN telah mentadbir negeri itu sejak 2018 sebelum diperkukuhkan menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dilaksanakan secara konsisten.

Katanya, kesinambungan pentadbiran, kestabilan politik serta rekod pencapaian kerajaan negeri akan menjadi tawaran utama HARAPAN bagi meraih mandat baharu daripada rakyat.

"Kesinambungan kepada apa yang telah dirangka sejak 2018 boleh diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan itulah yang akan kita tawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.