SINGAPURA, 21 JULAI: Berhadapan dengan masalah kadar kelahiran yang menjunam dan peningkatan populasi yang menua, Singapura dan Jepun sedia untuk bekerjasama di dalam pembangunan keluarga dan kanak-kanak.
Pada Selasa, satu Memorandum Kerjasama (MOC) ditandatangani antara Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Singapura dan Agensi Kanak-Kanak dan Keluarga Jepun.
Majlis menandatangani MOC itu berlangsung ketika lawatan kerja Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli ke Tokyo.
Dalam satu kenyataan, MSF memaklumkan bahawa perjanjian itu menyaksikan kedua-dua agensi melaksanakan aktiviti seperti perkongsian amalan terbaik, pertukaran maklumat, selain menjalankan penyelidikan, kajian dan data statistik berkaitan pembangunan holistik keluarga dan kanak-kanak.
Masagos, yang berada di Jepun hingga 24 Julai, berkata kerjasama itu mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara serta komitmen bersama untuk membina keluarga yang kukuh dan membantu kanak-kanak berkembang dengan baik.
"Memandangkan Singapura dan Jepun mendepani cabaran demografi yang serupa, termasuk populasi menua dan kadar kelahiran yang rendah, terdapat nilai besar dalam bertukar-tukar pandangan serta belajar daripada pengalaman satu sama lain dalam menyokong keluarga dan kanak-kanak," katanya.







