SHAH ALAM, 21 JULAI: Dataran Kemerdekaan Shah Alam dipilih sebagai lokasi rasmi majlis pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata keputusan itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat, dengan segala perincian berkaitan majlis berkenaan akan diumumkan oleh urus setia dalam masa terdekat.
“Lokasi sudah dimuktamadkan dan masih besederhana sekadar menghimpunkan kontinjen serta sedikit keraian. Penutup juga sangat besederhana sesuai dengan keadaan semasa dan penjimatan perbelanjaan.
“Tetapi saya percaya kemeriahan dapat digerakkan di venue-venue yang melangsungkan kejohanan. Saya berharap seluruh rakyat negeri dapat beri sokongan dan melihat bagaimana persaingan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi memaklumkan Dataran Kemerdekaan Shah Alam hampir pasti dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan temasya itu.
Menurutnya, beberapa aspek, termasuk keselamatan, sedang dimuktamadkan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum pengumuman rasmi dibuat.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.
Kejohanan tersebut akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala PARA SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.
Temasya sukan terbesar negara itu melibatkan penyertaan semua kontinjen negeri selain Brunei Darussalam sah menyertainya sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen.







