KAJANG, 13 JULAI: Dataran Kemerdekaan Shah Alam hampir pasti dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, selaras hasrat Kerajaan Negeri menganjurkan temasya itu secara berhemah dan sederhana.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata beberapa aspek, termasuk keselamatan, sedang dimuktamadkan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Kita cenderung memilih Dataran Kemerdekaan Shah Alam sebagai venue majlis pembukaan dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.
“Pemilihan Dataran Kemerdekaan Shah Alam dibuat selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Sultan supaya penganjuran SUKMA dilaksanakan secara berhemah dan sederhana,” katanya kepada pemberita pada Jelajah Larian Obor SUKMA ke-22 di Stadium Kajang, malam tadi.
Najwan menambah sambutan pembukaan di lokasi itu akan diadakan dalam skala lebih kecil berbanding cadangan awal untuk menganjurkannya secara besar-besaran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Walaupun lebih sederhana, majlis pembukaan tetap akan menampilkan elemen utama seperti perarakan kontinjen, upacara menaikkan bendera serta pembakaran obor SUKMA.
“Antara 2,000 hingga 3,000 anggota kontinjen dijangka mengambil bahagian dalam majlis pembukaan itu, yang turut dibuka kepada penyertaan orang awam bagi memeriahkan suasana untuk menjadikan SUKMA sebagai acara rakyat,” ujarnya lagi.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.
Kejohanan tersebut akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.
Temasya sukan terbesar negara itu melibatkan penyertaan semua kontinjen negeri selain Brunei Darussalam sah menyertainya sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen.







