SHAH ALAM, 20 JULAI: Semangat kebersamaan antara kepimpinan negara, kerajaan negeri dan seluruh warga perkhidmatan awam akan terus menjadi pemangkin kepada pentadbiran yang lebih berkesan, responsif dan berwibawa demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus diperkasakan dalam menghadapi landskap pentadbiran yang semakin mencabar.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini.
Menurut Amirudin, program yang memasuki edisi kelima penganjurannya itu terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan negara dengan warga perkhidmatan awam.
Katanya, dalam ucapan pada majlis berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang menjadi tonggak kepada kejayaan negara.
Perdana menteri turut memaklumkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara ketika ini jauh lebih baik daripada unjuran awal hasil dokongan, komitmen dan sokongan padu warga perkhidmatan awam dalam melaksanakan dasar serta agenda pembangunan negara.
"Majlis ini turut menjadi medan untuk menyelaraskan tekad dan iltizam bersama dalam menghadapi landskap pentadbiran yang semakin mencabar.
"Perkhidmatan awam perlu terus diperkasakan dengan budaya kerja yang tangkas, inovatif, berintegriti dan berorientasikan rakyat agar setiap dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat," katanya.
Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga perkhidmatan awam yang terus menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.







