SHAH ALAM, 20 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar meluangkan masa mengunjungi reruai SUKMA & Para SUKMA Selangor 2026 sempena Program Sesi Santai Mesra bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah hari ini.
Menurut Sekretariat SUKMA Selangor 2026, kunjungan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin melihat sendiri persiapan serta perkembangan terkini temasya sukan terbesar negara yang akan berlangsung di Selangor.
"Turut mengiringi lawatan ialah Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Sekretariat SUKMA turut menyertai program yang berlangsung di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor itu bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah.
Menurut sekretariat, penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan strategik dengan agensi kerajaan selain menyemarakkan semangat menjelang penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.
SUKMA Selangor dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.










