Lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman di Kajang

20 Jul 2026, 1:05 PM
Lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman di Kajang

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan akibat tikaman di bahagian abdomen di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan pada 8.45 pagi.

"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an tanpa sebarang dokumen pengenalan diri telah meninggal dunia di tempat kejadian," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal bersama dengan pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat senjata tajam pada tubuh mangsa, dan hasil bedah siasat yang dijalankan Pegawai Perubatan Hospital Kajang mendapati punca kematian mangsa ialah akibat pendarahan di bahagian abdomen susulan kecederaan tikaman.

Naazron berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti identiti mangsa, mengesan saksi dan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.