SEREMBAN, 20 JULAI: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini menahan seorang lelaki yang disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) di aplikasi Threads.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan jam 1 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban bagi membantu siasatan dan turut merampas sebuah telefon bimbit miliknya untuk siasatan lanjut.
“Polis menerima laporan berhubung hantaran dimuat naik di media sosial yang mengandungi kenyataan berunsur penghinaan serta menyentuh sensitiviti Institusi Diraja Negeri Sembilan semalam.
“Siasatan awal mendapati hantaran itu dimuat naik pada 17 Julai dan pengadu hanya menyedari kewujudan hantaran berkenaan keesokannya sebelum membuat laporan polis,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Alzafny turut menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan atau menyebarkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R sehingga menjejaskan ketenteraman awam.







