KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Jabatan Penjara Malaysia akan mempertingkatkan langkah keselamatan termasuk penggunaan teknologi, pemantauan risikan dan rondaan bagi menangani ancaman baharu bagi tujuan jenayah.
Langkah proaktif itu diambil susulan kejayaan jabatan berkenaan mengesan dan menggagalkan satu cubaan menyeludup masuk barang larangan menggunakan dron ke dalam Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka, 15 Julai lalu.
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga sedang melaksanakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sekiranya terdapat penglibatan penghuni atau pihak lain berhubung insiden tersebut.
"Hasil pemantauan dan kawalan keselamatan pihak penjara, aktiviti mencurigakan itu berjaya dikesan sebelum satu laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.
"Kerjasama erat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan institusi penjara sentiasa berada pada tahap tertinggi serta sebarang cubaan membawa masuk barang larangan dapat dicegah secara berkesan," menurut kenyataan itu.
Susulan laporan berkenaan, PDRM telah menjalankan operasi dan berjaya menahan dua individu warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu serta merampas beberapa barangan berkaitan.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan seorang lelaki dan wanita berusia 46 dan 27 tahun dalam serbuan di Taman Kris Satria, Sungai Udang susulan cubaan menyeludup masuk tembakau ke dalam penjara berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati suspek lelaki yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau itu mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan, dipercayai hasil pakatan dengan seorang banduan.
Jabatan Penjara menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang atau salah laku yang boleh menjejaskan ketenteraman institusi penjara.
Bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan tidak akan mengulas lanjut kes berkenaan kerana proses siasatan PDRM yang sedang berjalan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi.







