SKMM tidak kawal algoritma platform media sosial secara langsung

20 Jul 2026, 6:31 AM
SKMM tidak kawal algoritma platform media sosial secara langsung

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mengawal atau menetapkan reka bentuk algoritma platform secara langsung.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata sebaliknya SKMM mengamalkan pendekatan kawal selia berasaskan risiko yang meletakkan tanggungjawab kepada pemberi perkhidmatan berlesen untuk menilai dan mengurus impak sistem mereka.

"SKMM mengamalkan pendekatan kawal selia berasaskan risiko yang meletakkan tanggungjawab kepada pemberi perkhidmatan berlesen untuk menilai dan mengurus impak sistem mereka.

“Ini termasuk mengambil langkah yang munasabah bagi mengurangkan risiko penyebaran secara algorithmic amplification terhadap kandungan yang menyalahi undang-undang atau memudaratkan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai tindakan yang boleh diambil kerajaan bagi mengekang manipulasi algoritma oleh pempengaruh yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Nie Ching berkata di bawah kod pengurangan risiko, pemberi perkhidmatan berlesen diwajibkan melaksanakan penilaian risiko dengan mengambil kira aspek pengujian serta penyesuaian sistem algoritma dan sistem saranan platform masing-masing.

Beliau berkata SKMM akan menilai Pelan Keselamatan Dalam Talian yang dikemukakan setiap pemberi perkhidmatan berlesen bagi meneliti keberkesanan langkah pengurangan risiko yang diambil.

"Semua pemegang lesen diberi tempoh 180 hari dari tarikh kuat kuasa perundangan subsidiari pada 1 Julai lepas untuk mengemukakan pelan keselamatan berkenaan.

"Kita akan tunggu sampai hujung tahun ini untuk meneliti pelan yang dikemukakan oleh pemegang lesen untuk menentukan sama ada pelan yang dikemukakan mereka cukup baik atau sebaliknya," katanya.

Bermula 1 Januari 2026, mana-mana pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta pengguna atau lebih di Malaysia disifatkan sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) Golongan C melalui ketetapan deeming provision di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.