SHAH ALAM, 19 JULAI: Selepas 12 tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 17 (MH17), waris mangsa terus mengharungi kehidupan dengan menyimpan kenangan terhadap insan tersayang yang terkorban.
Bagi Amnah Mohd Sharis, 77, ibu kepada pramugara MH17, Shaikh Mohd Noor Mahmood, ingatan dan doa terhadap arwah anaknya amat bermakna buat keluarga.
"Terima kasih kerana masih mengingati Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood dan kami selaku warisnya meskipun sudah 12 tahun berlalu.
"Teruskanlah berdoa kebaikan untuk kami sekeluarga. Yang pergi biarkanlah pergi dan yang masih ada perlu teruskan hidup dengan baik," katanya lapor Harian Metro.
Shaikh Mohd Noor adalah antara 298 penumpang yang terkorban selepas pesawat dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Menurut Amnah, kehidupannya kini diteruskan dengan penuh kesyukuran, selain hubungan kekeluargaan masih terjalin erat.
"Alhamdulillah baik bekas menantu dan tiga anak arwah hasil perkahwinan pertama sentiasa menziarahi Mak Tom (gelaran mesra Amnah).
"Sementara anak arwah bersama Madiani Mahani (perkahwinan kedua) yang berusia 14 tahun juga masih berlangsung dengan baik. Arwah Madiani meninggal dunia pada Ramadan 2021 akibat kanser," katanya.
Mengimbau peribadi arwah anaknya, Amnah berkata meskipun bertugas sebagai kru penerbangan, tetapi karakternya di rumah sangat berlainan.
"Walaupun terbang di merata dunia tetapi dia lebih suka 'memerap' di rumah.
"Kalau bercuti pun, dia lebih suka berjalan-jalan tidak jauh dari rumah seperti Port Dickson, Negeri Sembilan atau Melaka.
"Dia mengikut perangai arwah bapanya yang gemar duduk di rumah atau mengisi masa dengan tidur," katanya.
Tambahnya, selain keluarga yang terus menyimpan memori dan kenangan, kenalan yang tinggal di sekitar kawasan kediamannya juga masih bertanyakan khabar.
Sementara itu, kisah anak seorang lagi mangsa MH17 memperlihatkan perjalanan panjang seorang waris dalam mengharungi kesedihan, proses penyembuhan dan mencari tujuan hidup selepas kehilangan ibunya, Dora Shahila Kassim.
Dora yang merupakan ketua pramugari MH17 adalah antara 298 mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat itu.
Diyana Yazeera baru berusia 15 tahun ketika kehilangan ibunya yang disifatkan sebagai sahabat baiknya.
Diyana berada di sekolah berasrama di Seremban ketika bulan Ramadan apabila menerima berita pada pagi Jumaat bahawa pesawat dinaiki ibunya ditembak jatuh.
"Pada ketika itu saya menafikan perkara itu dan terkejut kerana kali terakhir kami bercakap hanya beberapa hari sebelum penerbangan beliau.
"Saya menelefon untuk bertanya sama ada beliau akan mengambil saya pada Sabtu," katanya lapor Free Malaysia Today (FMT) Lifestyle.
Menurut Diyana, kehidupannya turut melalui fasa sukar selepas tragedi itu apabila dia mengabaikan pelajaran dan berdepan kesedihan yang mendalam.
"Dari tingkatan tiga hingga saya berusia 18 tahun, saya mengabaikan pelajaran. Saya berada dalam kegelapan. Saya terima kertas peperiksaan, menolaknya ke tepi dan terus tidur.
"Ibu saya sudah tiada, jadi saya rasa, apa gunanya saya meneruskan hidup?," katanya.
Walaupun memperoleh keputusan SPM yang kurang baik, Diyana perlahan-lahan membina semula kehidupannya sebelum menjadi antara 10 pelajar terbaik dalam program asasi dan menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian undang-undang di United Kingdom.
Menurutnya sambil tersenyum, ibunya pernah mengusiknya bahawa dia ditakdirkan menjadi peguam. Akhirnya, itulah yang berlaku.
Tahun lalu, beliau diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, selain kini bekerja sebagai eksekutif undang-undang di sebuah syarikat teknologi keselamatan.
"Saya suka berfikir bahawa beliau bangga dengan saya," kata Diyana sambil menahan air mata.
"Ibu saya sangat berdikari. Beliau seorang ibu tunggal dan pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Saya berharap saya dapat menjadi seperti beliau."
Julai lalu, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap kejadian pesawat MH17 ditembak jatuh. Bagaimanapun, Kremlin menolak keputusan itu dan menafikan tanggungjawab.
Mengulas mengenai ketiadaan kebertanggungjawaban itu, beliau berpendapat keadilan hanya boleh dicapai apabila pihak yang bertanggungjawab tidak mempunyai kuasa besar.
"Dan itu menyedihkan. Ia sesuatu yang perlu kita ubah untuk generasi akan datang," katanya yang sudah memilih untuk memaafkan sebelum keputusan dibuat.
Diyana berkata, pertemuan dengan keluarga mangsa lain ketika sambutan ulang tahun pertama tragedi MH17 di Amsterdam membantunya menyedari bahawa dia tidak bersendirian dalam kesedihan.
"Saya berhubung dengan beberapa keluarga mangsa di sana dan sehingga kini masih berhubung dengan mereka. Ia menunjukkan bahawa kesedihan tidak mengenal bangsa atau agama – kami berkongsi kesakitan yang sama," katanya.
Walaupun tragedi MH17 hanya diperingati ramai pada setiap ulang tahun, Diyana berkata kenangan terhadap ibunya hadir dalam kehidupan seharian.
"Baru-baru ini seorang rakan sekerja menawarkan saya buah manggis dan saya terus menangis kerana ia buah kegemaran saya, dan ibu selalu membawa pulang berkilo-kilo manggis," kongsinya.
Tragedi itu turut meninggalkan ketakutan terhadap penerbangan dalam dirinya.
"Semasa pesawat berlepas atau mendarat, saya mula menjerit histeria," katanya, sambil menambah bahawa selama bertahun-tahun, dia belajar untuk menghadapinya dengan lebih baik.
Dengan berkongsi kisahnya, Diyana berharap mangsa MH17 tidak akan dilupakan, selain keluarga mangsa suatu hari nanti dapat menemui penutup cerita yang sewajarnya mereka terima.







