SHAH ALAM, 19 Julai: Di sebalik setiap melodi yang indah, perlu ada keberanian untuk berkarya. Itulah semangat yang dibawa komposer muda, Aisha Retno. Bukan sahaja membentuk identiti sendiri, bahkan mencorak landskap industri muzik tanah air lewat karya segar, kreatif dan inovatif.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, percaya seseorang komposer tidak boleh hanya mengikut perkembangan semasa jika mahu terus bersaing dalam industri muzik yang semakin kompetitif.
Dua lagu bertema Aidilfitri ciptaan dan nyanyiannya menjadi fenomena dua tahun berturut-turut. Ketipak Ketipung Raya dan Jodoh Lebaran menggungguli carta muzik sekali gus mengukuhkan namanya sebagai komposer muda paling menyerlah dalam industri tempatan.

Dalam era media sosial yang sarat lambakan kandungan, penggubah lagu muda perlu berani mempertahan identiti dan menghasilkan karya asli supaya melodinya kekal berbekas di halwa pendengar.
"Perlu berani kekalkan keunikan sendiri. Jangan terlalu sibuk mengejar apa yang sedang popular sehingga hilang identiti. Pendengar masa kini semakin bijak. Mereka boleh merasai kejujuran dalam sesebuah karya," katanya kepada Media Selangor.
Memulakan langkah dalam industri seni pada 2019, Aisha pantas mencipta nama. Selain menjadi pelakon utama Puteri Gunung Ledang The Musical, beliau turut dipilih sebagai juri Big Stage X Rocketfuel.
Justeru, jadualnya semakin lama semakin padat. Beliau perlu bijak membahagi masa antara rakaman, persembahan, penciptaan lagu dan komitmen dalam bidang lakonan serta televisyen.
Tampil kelainan
Minatnya terhadap penulisan lagu bermula ketika bergelar mahasiswa lagi. Muzik wadah untuknya meluahkan perasaan dan berkongsi kisah diri. Seterusnya, ia berkembang menjadi komitmen serius.
Sedikit demi sedikit, Aisha mula menghasilkan karya sendiri. Beliau kemudian diberi kepercayaan untuk terlibat dalam pelbagai projek muzik.
"Menulis lagu bagi saya adalah satu proses yang sangat peribadi. Setiap karya mempunyai cerita dan pengalaman yang berbeza. Ia menjadi cara saya berhubung dengan pendengar melalui emosi yang diterjemahkan dalam bentuk muzik," katanya.
Naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 itu pernah mencipta beberapa lagu popular antaranya Kesuma nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain (Sendiri) dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan (Broken Symphony).
Walaupun mengambil inspirasi daripada penulis lagu tempatan dan antarabangsa, Aisha sentiasa memastikan setiap karyanya mendukung identiti dan punya sentuhan peribadi tersendiri. Pelantun lagu Sutera itu menyifatkan generasi anak muda masa kini sebagai kelompok yang kreatif, berani dan mempunyai peluang lebih luas berbanding generasi terdahulu.
Dengan akses kepada teknologi dan pelbagai platform digital, mereka memiliki ruang lebih besar bagi membina jenama peribadi sekali gus mengetengah bakat masing-masing.
"Saya percaya belia Malaysia mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif dalam pelbagai bidang. Mereka lebih terbuka untuk mencuba idea baharu dan berani meneroka peluang yang ada," katanya.
Beliau juga menegaskan seni dan kreativiti tidak harus dilihat sebagai medan hiburan semata-mata. Sebaliknya, ia membawa peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih progresif dan berfikiran terbuka.
Aisha menganggap seni mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang selain membantu meningkatkan empati dan kefahaman antara satu sama lain.
"Seni bukan sekadar hiburan. Ia ruang untuk menyampaikan mesej, mencetuskan perbincangan dan membina masyarakat yang lebih memahami. Generasi yang kreatif selalunya lebih berani mencipta penyelesaian baharu dan memacu perubahan."
Sebagai anak muda yang mencipta nama dalam industri kreatif, Aisha menegaskan pencapaian akademik sahaja tidak lagi mencukupi dalam dunia yang sentiasa berubah.
Sebaliknya, kemahiran komunikasi, kreativiti, literasi digital serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan perlu diberi perhatian oleh generasi muda.
"Keupayaan untuk terus belajar adalah satu kelebihan yang besar. Selain itu, kemahiran mengurus emosi dan membina hubungan baik dengan orang lain juga sangat penting," kata Aisha.



