KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 terarah kepada barisan tokoh utama politik tanah air yang bakal bersaing dalam pertembungan sengit satu lawan satu hingga lima penjuru.
Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sebanyak 11 kawasan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, jumlah yang mengecil berbanding 27 kawasan pada PRN lepas.
Sebanyak 21 kawasan pula melibatkan persaingan tiga penjuru, iaitu peningkatan ketara berbanding hanya tujuh kerusi pada PRN 2023 manakala baki empat kerusi lagi masing-masing dua menyaksikan persaingan empat dan lima penjuru.
Pada PRN lepas, tiada sebarang persaingan melibatkan lima penjuru.
Dalam persaingan satu lawan satu, tumpuan pastinya di DUN Chennah yang menyaksikan Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mewakili Pakatan Harapan (PH) ditentang calon Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon.
Turut mencuri tumpuan ialah DUN Rantau apabila Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusi berkenaan daripada calon PH Dr Azizul Hakim Mahdi.
Bagi pertembungan tiga penjuru, saingan di DUN Linggi menjadi tumpuan apabila Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH) dicabar Zamri Md Said daripada Bersatu dan Mohd Faizal Ramli (BN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN) juga berentap dalam saingan tiga penjuru di DUN Pertang menentang calon PH dan Bersatu.
Di DUN Klawang, Danni Rais yang juga anak kepada veteran politik Tan Sri Rais Yatim mewakili Perikatan Nasional (PN) bakal berdepan penyandang Bakri Sawir (PH) serta Muhammad Adib Musa daripada Bersatu.
Sementara itu, saingan empat penjuru melibatkan dua kawasan, iaitu DUN Jeram Padang yang menyaksikan penyandang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN) dicabar G. Manivannan (PH), R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (Asli).
DUN Rahang turut menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang Siaw Meow Keong (PH) yang berdepan Yap Siok Moy (BN), S. Thinagaran daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Tang Jay San (Bersatu).
Kemuncak persaingan menyaksikan dua kawasan melibatkan pertandingan lima penjuru, iaitu di DUN Nilai dan DUN Sri Tanjung.
Penyandang DUN Nilai J. Arul Kumar (PH) akan mempertahankan kerusi itu daripada Lai Chien Kong (BN), Datuk V. Saravana Kumar (Bersatu), Zamani Ibrahim (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia atau Berjasa) dan calon Bebas Omar Mohd Isa.
Di DUN Sri Tanjung pula, penyandang Datuk Dr G. Rajasekaran (PH) bakal diuji A. Achuthan (BN), M. Leevineshwaraan (Bersatu) serta dua calon Bebas, iaitu Datuk A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan manakala hari pengundian 1 Ogos.
Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.







