AS lancar gelombang serangan baharu di selatan Iran

18 Jul 2026, 2:00 AM
AS lancar gelombang serangan baharu di selatan Iran

ISTANBUL, 18 JULAI: Beberapa letupan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di selatan Iran pada malam Jumaat ketika tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan gelombang baharu serangan bagi malam ketujuh berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media Iran.

Agensi berita Mehr melaporkan letupan kedengaran di wilayah selatan Bushehr, selain di Pulau Qeshm dan Sirik.

Menurut Mehr, setakat ini tiada butiran rasmi dikeluarkan mengenai lokasi sebenar yang menjadi sasaran, sasaran serangan atau tahap kerosakan yang berlaku.

Penyiar negara Iran, IRIB melaporkan tiga letupan kedengaran di Bamani, Daerah Sirik di wilayah Hormozgan.

Agensi Berita Tasnim kemudian melaporkan tentera AS menyerang kawasan berhampiran Sirik pada 11.27 malam waktu tempatan.

Pesawat pejuang AS meneruskan serangan ke atas beberapa laluan pengangkutan di wilayah Hormozgan serta menyerang dua jambatan di wilayah itu.

Laluan Bandar Abbas-Hajiabad turut ditutup "sehingga dimaklumkan kelak" selepas serangan AS menyasarkan Terowong Shahid Mirzai, menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan Jambatan Shor di laluan Bandar Abbas-Hajiabad, serta sebuah lagi jambatan selepas persimpangan Sarzeh turut menjadi sasaran tentera AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.